JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto menegaskan semula komitmen negara itu terhadap dasar luar yang bebas dan aktif, sambil menekankan bahawa Jakarta akan kekal berkecuali selain mengekalkan hubungan dengan semua kuasa besar di tengah-tengah ketegangan geopolitik global semakin meningkat.
Beliau berkata persekitaran global yang semakin tidak menentu, termasuk konflik di Asia Barat, menonjolkan kepentingan mengekalkan pendekatan dasar luar Indonesia yang telah lama diamalkan.
Beliau berkata Indonesia terus menghormati semua negara dan kuasa global sambil mengekalkan hubungan dengan pelbagai pihak tanpa menyebelahi mana-mana pihak dalam konflik antarabangsa.
“Kami menghormati semua kuasa, kami menghormati semua negara. Itulah Indonesia. Bhinneka Tunggal Ika (Beraneka Tetapi Bersatu) di dalam negara dan di peringkat luar, kami juga menghormati semua negara, menghormati semua agama, menghormati semua bangsa dan menghormati semua kumpulan etnik,” katanya dalam siaran langsung di saluran YouTube Sekretariat Presiden pada Isnin.
Walaupun secara geografi jauh daripada zon konflik utama, Prabowo berkata Indonesia tetap akan merasai kesannya apabila dunia semakin saling berhubung.
Beliau berkata ketegangan geopolitik yang meningkat juga boleh menimbulkan cabaran ekonomi dan politik kepada negara itu.
Di sebalik ketidakpastian itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa Indonesia mempunyai daya tahan untuk menghadapi ketidakstabilan global, dengan merujuk perpaduan nasional dan perpaduan sosial sebagai kekuatan utama.
“Kami menghadapi kesukaran dengan tekad untuk mengatasinya. Kami tidak lari daripada kesukaran, dan kami juga tidak berpura-pura bahawa ia tidak wujud,” katanya.
Pada Isnin, Prabowo merasmikan 218 jambatan yang dibina di beberapa wilayah termasuk kawasan terjejas akibat bencana seperti Aceh, sambil memuji tindakan pantas Tentera Nasional Indonesia dalam menyiapkan pembinaan itu.
Projek berkenaan merangkumi 77 jambatan Bailey, 59 jambatan Armco dan 82 jambatan perintis yang disiapkan dalam tempoh kira-kira dua bulan setengah.
“Ada pihak mahu membina monumen besar, membina bangunan pencakar langit dan bangunan mewah. Tidak, kerajaan yang saya pimpin berbangga kerana kami menangani kesukaran rakyat kami hingga ke peringkat akar umbi, mereka yang tinggal paling jauh dan di kawasan paling terpencil,” katanya.
-- BERNAMA