MERSING: Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki menumbuk seorang wanita hingga mengalami kecederaan parah di hadapan sebuah pasar raya di sini, Jumaat lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing DSP Mohd Nizam Yusoff berkata laporan dibuat mangsa dan bertindak atas maklumat, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan di sekitar bandar ini kira-kira 12.15 tengah malam, Sabtu.
"Hasil siasatan mendapati berlaku perselisihan faham apabila mangsa dipercayai cuba mengelak suspek yang sedang melintas jalan ketika memandu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohd Nizam berkata akibat kejadian, mangsa berusia 48 tahun itu mengalami lebam pada bahagian dahi dan patah hidung.
Beliau berkata suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah tanpa senjata dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu tular di laman Facebook, satu video berdurasi 42 saat yang memaparkan insiden seorang lelaki secara tiba-tiba menumbuk wanita di hadapan pasar raya.
-- BERNAMA