GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang telah memulakan siasatan terhadap laporan polis berkaitan hantaran Facebook seorang penceramah berhubung perhimpunan mengenai sebuah rumah ibadat kecil berdekatan sebuah hospital di negeri ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail mengesahkan laporan polis dibuat oleh Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer semalam.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azizee meminta orang ramai tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih berunsur provokasi atau membuat spekulasi yang boleh mencetuskan niat jahat dan permusuhan antara kaum di negara ini.
Pada masa sama beliau menasihatkan orang ramai tidak menyertai atau mengadakan sebarang perhimpunan yang boleh menimbulkan kacau ganggu atau menjejaskan ketenteraman awam masyarakat setempat.
Azizee berkata polis sentiasa memantau rapi perkembangan situasi itu dan akan mengambil tindakan tegas jika terdapat perlanggaran undang-undang oleh mana-mana pihak.
Semalam, Rayer membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut susulan hantaran penceramah itu.
-- BERNAMA