Skip to main content

Malaysia

Polis buru lelaki cederakan pegawai AADK di Bangsar

81740151203_PDRM.jpg
Polis sedang mengesan seorang lelaki yang bertindak agresif mencederakan seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menggunakan pisau dalam satu operasi di Jalan Kerinchi, Bangsar hari ini. - Foto hiasan/X/@bernamadotcom

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang bertindak agresif mencederakan seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menggunakan pisau dalam satu operasi di Jalan Kerinchi, Bangsar di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook berkata kejadian berlaku pada 5.08 petang di sebuah premis cuci kereta bersebelahan Bangsar South Mall ketika pasukan AADK menjalankan ujian saringan air kencing.

Beliau berkata mangsa, pegawai lelaki berusia 48 tahun, mengalami luka di tapak tangan dan ibu jari kanan akibat serangan itu.

"Suspek, seorang lelaki berusia 46 tahun, pada mulanya ditahan dan diarah menjalani ujian saringan air kencing… bagaimanapun, lelaki itu enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif melarikan diri sebelum mencederakan mangsa," menurutnya dalam kenyataan.

Hoo berkata mangsa kini dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di wad biasa Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Beliau berkata identiti suspek telah dikenal pasti dan beralamat Cheras manakala kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Syed Hamiz Azfar Syed Mohd Najib di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video