Skip to main content

Malaysia

Polis buru artis wanita dan suami, bantu siasatan kes penipuan RM1.5 juta

81755522741_PolisLogoPolisP.jpg
Mereka merupakan suspek bagi kes yang disiasat di Seremban berkenaan urusan penjualan tanah kurniaan negeri Selangor yang tidak wujud membabitkan kerugian RM1.5 juta.

SEREMBAN: Polis sedang giat mengesan seorang artis wanita bersama suaminya bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan urusan penjualan tanah lot kurniaan tidak wujud melibatkan kerugian RM1.5 juta.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim berkata pihaknya menerima laporan kes berkenaan daripada seorang lelaki berusia 56 tahun pada 7 Jan lepas.

"Setakat ini, mereka merupakan suspek bagi kes yang disiasat di Seremban berkenaan urusan penjualan tanah kurniaan negeri Selangor yang tidak wujud membabitkan kerugian RM1.5 juta.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kedua-dua suspek berada di Sarawak. Mereka sudah didaftarkan sebagai orang dikehendaki," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut masih berjalan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu tular di media sosial mengenai seorang individu yang mendakwa dirinya ditipu oleh suami artis tersebut sebelum bertindak membuat laporan polis.

Dalam perkembangan berasingan, polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan dua beradik lelaki dilaporkan hilang sejak 24 Feb lepas. 

Azahar berkata kali terakhir dua beradik itu dilihat menaiki kenderaan Isuzu D-Max menuju ke Port Dickson pada tarikh tersebut kira-kira 4.30 petang.

"Dua beradik itu, Rasfaiza Rashid, 43, dan Rasfaridzouan, 39, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar sejak seminggu lepas.

"Rasfaiza berkulit cerah, badan sederhana, tinggi 1.68 meter (m) dan berat 72 kilogram (kg), manakala Rasfaridzouan pula berbadan gempal, tinggi 1.68 m dan berat 78 kg," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta agar berhubung dengan Ketua Balai Polis Sikamat Insp Zailan Ahmad di talian 018-3186358 atau 06-7612222.

--BERNAMA

Must Watch Video