Skip to main content

Malaysia

PMR 2026 pecah rekod, catat kehadiran lebih 300,000 pengunjung - Nga

IPOH, 5 April -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berucap ketika menyempurnakan perasmian penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Nga berucap ketika menyempurnakan perasmian penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru hari ini. - Gambar Bernama

IPOH: Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak mencatat kehadiran 303,222 pengunjung sekali gus memecahkan rekod kehadiran pengunjung paling tinggi sepanjang program itu diadakan sejak 2024.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata program kali ini dengan tema Bandar Lestari, Rumah Berkualiti, Komuniti Harmoni itu juga telah mencatat jumlah jualan hampir RM1 juta.

“Walaupun berdepan cabaran cuaca, tapi sambutannya sangat-sangat memberangsangkan, inilah program utama Kerajaan MADANI untuk mendekati rakyat. Kita akan terus mengorak langkah supaya program sebegini akan membawa manfaat yang besar kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian penutup PMR 2026 Perak yang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini yang berakhir hari ini.

Nga berkata susulan kejayaan tersebut, program tersebut berjaya mencapai objektifnya dengan sokongan padu rakyat dalam masa yang sama memberikan manfaat ekonomi kepada peniaga kecil serta membantu mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kali ini berperanan sebagai kementerian peneraju bagi PMR 2026 yang membuka tirainya di Perak sejak Jumaat lepas.

Lebih 200 perkhidmatan kerajaan ditawarkan serta pelbagai aktiviti menarik kepada seluruh lapisan masyarakat termasuk Program Jualan Rahmah, perkhidmatan gunting rambut percuma, pameran TVET, pameran aset kententeraan serta pelbagai lagi.

Sementara itu, Nga turut menyampaikan hadiah pertandingan fotografi dan video bertema Lensa Rakyat, Ekspresi MADANI sempena program berkenaan.

Beliau turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung termasuk hadiah utama sebuah kereta Perodua Axia kepada pemenangnya iaitu Siti Nur Aishah Sallehudin serta pemenang-pemenang lain.

-- BERNAMA

Must Watch Video