Skip to main content

Malaysia

PM hargai jasa jururawat sempena Hari Jururawat Sedunia

Sumber: Anwar Ibrahim
Anwar menyifatkan profesion kejururawatan sebagai kerjaya mulia yang menuntut pengorbanan besar, kekuatan jiwa dan ketulusan hati yang luar biasa. - Foto Facebook/Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh jururawat atas jasa dan pengorbanan mereka dalam menjaga rakyat pada setiap fasa kehidupan.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau sempena Hari Jururawat Sedunia, Anwar berkata jururawat merupakan antara insan terawal yang menyambut kelahiran manusia ke dunia dan terus setia berkhidmat menjaga pesakit sehingga ke penghujung usia.

Menurut beliau, hampir setiap individu pernah merasai sentuhan ihsan seorang jururawat, sama ada ketika menenangkan pesakit yang menahan derita, memujuk kanak-kanak yang ketakutan mahupun memberi kekuatan kepada keluarga yang cemas.

Katanya, pengalaman dan ketelitian jururawat juga menjadi tonggak penting dalam membantu doktor memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.

Anwar turut menyifatkan profesion kejururawatan sebagai kerjaya mulia yang menuntut pengorbanan besar, kekuatan jiwa dan ketulusan hati yang luar biasa.

“Besarnya jasa jururawat sering tidak terungkap dengan kata-kata, namun pengorbanan mereka amat besar nilainya buat rakyat dan negara,” katanya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Jururawat Sedunia kepada seluruh warga jururawat di negara ini.

 

 

Must Watch Video