LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, enggan meletakkan jawatan meskipun berdepan tekanan semakin memuncak daripada Parti Buruh sendiri, susulan kekalahan besar dalam pilihan raya tempatan dan wilayah minggu lalu yang mencetuskan krisis kepimpinan paling serius sejak beliau memegang jawatan.
Tekanan terhadap Starmer meningkat selepas tiga menteri kerajaan itu mengumumkan peletakan jawatan, sekali gus mencetuskan perdebatan terbuka mengenai masa depan kepimpinannya.
Peletakan jawatan tersebut berlaku ketika Parti Buruh berdepan penolakan pengundi yang ketara di peringkat akar umbi.
Menteri bagi Devolusi, Kepercayaan dan Komuniti, Miatta Fahnbulleh, menjadi antara yang terawal berundur, apabila secara terbuka menggesa Starmer menetapkan garis masa untuk berundur.
Tindakan itu diikuti oleh Jess Phillips, Menteri Perlindungan, yang turut meletakkan jawatan dengan menyatakan kebimbangan terhadap keyakinan awam dan hala tuju kepimpinan kerajaan.
Dalam pilihan raya tempatan minggu lalu, Parti Buruh kehilangan lebih seribu kerusi majlis tempatan di seluruh England dan Wales, selain gagal mengekalkan penguasaan di beberapa kawasan tradisi.
Keputusan itu dilihat sebagai isyarat jelas ketidakpuasan hati pengundi terhadap prestasi kerajaan, khususnya berkaitan kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi.
Walaupun berdepan desakan daripada puluhan Ahli Parlimen Parti Buruh supaya berundur atau sekurang-kurangnya mengumumkan garis masa peralihan kepimpinan, Starmer menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan.
Beliau memberi alasan pengundurannya ketika ini hanya akan mencetuskan ketidakstabilan politik dan menjejaskan ekonomi negara.
Starmer turut menyampaikan ucapan khas pada Isnin lalu bagi mempertahankan kepimpinannya, dengan mengakui kekalahan pilihan raya sebagai satu tamparan besar namun menegaskan beliau akan terus memikul tanggungjawab untuk memulihkan kepercayaan rakyat.
Bagaimanapun, ucapan tersebut dilaporkan gagal meredakan sepenuhnya kebimbangan dan perpecahan dalam Parti Buruh.
Pilihan raya itu juga menyaksikan peningkatan sokongan kepada parti populis sayap kanan, Reform UK, yang membuat penembusan besar di beberapa kawasan bekas kubu Parti Buruh, mencerminkan perubahan landskap politik Britain dan cabaran besar yang kini dihadapi oleh kepimpinan Starmer.