KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa terharu dan penghargaan kepada pelajar serta rakyat Malaysia atas kiriman kad ucapan kreatif bersempena dengan Aidilfitri yang akan disambut esok.
Menerusi hantaran video di Facebook rasminya hari ini, Anwar menyifatkan setiap kad yang diterima bukan sekadar ucapan, sebaliknya tanda ingatan tulus dan penuh kasih sayang, meskipun kecil pada rupa, namun besar maknanya buat beliau.
“Alhamdulillah, terharu betul saya apabila terima pelbagai kad ucapan Aidilfitri yang penuh warna-warni hasil kreativiti anak-anak, ada yang lukis, ada yang siap berlampu, memang kreatif habis!
“Terima kasih yang tidak terhingga, semuanya amat saya hargai! Salam lebaran buat semua,” kata beliau.
Melalui video berdurasi lebih tiga minit itu, Anwar turut membaca beberapa kad raya antaranya daripada Sekolah Kebangsaan Muadzam Jaya, Pahang, murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Talang, Negeri Sembilan selain ada yang dihantar secara kreatif walaupun sekadar menggunakan kertas biasa.
“Terima kasihlah. Hantar begini pun (guna kertas sahaja), pos hantar kat saya. Terima kasihlah Pejabat Pos,” katanya.
Pada akhir video, Perdana Menteri turut menasihati anak-anak agar tidak melupakan amalan memberikan salam, mencium tangan ibu bapa serta memohon ampun dan doa kesejahteraan daripada mereka pada pagi Aidilfitri.
-- BERNAMA