Skip to main content

Malaysia

PM Anwar gesa rakyat berjimat, waspada kesan ketidaktentuan ekonomi global

BUKIT MERTAJAM, 7 Mac -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan para jemaah pada Majlis Perasmian Masjid Mengkuang Titi dan Sambutan Nuzul Al-Quran 1447H hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026)
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan para jemaah pada Majlis Perasmian Masjid Mengkuang Titi dan Sambutan Nuzul Al-Quran 1447H hari ini. - Foto BERNAMA

BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati rakyat supaya merancang perbelanjaan dan mengamalkan sikap berjimat cermat sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan ketidaktentuan ekonomi global.

Beliau berkata walaupun keadaan ekonomi negara buat masa ini masih terkawal, perkembangan geopolitik antarabangsa, khususnya konflik di Asia Barat berpotensi menjejaskan rantaian bekalan dunia, sekali gus memberikan tekanan pada harga barang.

"Saya sengaja membangkitkan soal antarabangsa ini kerana tidak mahu kita alpa. Walaupun kita berasa selesa, gambaran dunia ketika ini sedang 'kacau bilau' dengan puluhan negara terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam kancah peperangan," kata beliau dalam ucapan ketika merasmikan Masjid Mengkuang Titi di sini, hari ini.

Anwar berkata harga minyak dunia kini melonjak hingga dua kali ganda berikutan ketegangan yang berlaku akibat konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Beliau berkata sekatan terhadap kapal-kapal besar yang mengangkut minyak dan gas di Selat Hormuz akibat konflik yang berpunca daripada kezaliman rejim Israel telah menyebabkan lebih 200 kapal terkandas.

Situasi tersebut, kata beliau, mengakibatkan kos logistik meningkat tinggi, sekali gus memberikan kesan kepada harga barangan keperluan lain termasuk makanan dan baja.

Anwar berkata kos makanan dan baja yang dibawa dari Ukraine, Rusia, dan Eropah semuanya melambung tinggi dan kerajaan sedang berusaha mencari jalan untuk menangani situasi ini.

"Namun, saya bertanggungjawab untuk memberikan peringatan awal agar kita cermat, belajar, jimat, dan menyimpan. Kita (kerajaan) mahu pertahankan harga subsidi (barangan keperluan), tetapi kita tidak tahu berapa lama ia boleh bertahan kerana harga minyak dunia yang melambung.

"Dalam bulan puasa dan menjelang raya nanti, jangan boros. Kita tidak tahu berapa lama keadaan ekonomi ini boleh bertahan. Pandai-pandailah mengurus ekonomi kerana jika kegawatan yang lebih serius berlaku, ia tidak mudah untuk diselesaikan," kata beliau.

Perasmian masjid itu, yang diadakan bersempena dengan Sambutan Majlis Nuzul al-Quran, turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

-- BERNAMA

Must Watch Video