LAHAD DATU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17 Lahad Datu mencatat kejayaan signifikan apabila merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM4.1 juta sepanjang bulan Mac lalu dalam kawasan Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE).
Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 13 serbuan berjaya dilaksanakan menerusi Op Taring ESSZONE dan beberapa operasi risikan khas, sekali gus membawa kepada penahanan 18 individu termasuk lapan warga asing.
Rampasan melibatkan pelbagai kesalahan serius, antaranya pemilikan dadah, penyeludupan rokok tanpa cukai, mercun haram, penyelewengan barang kawalan serta perdagangan hidupan liar dilindungi.
PGA Lahad Datu, dalam satu kenyataan, memaklumkan operasi dijalankan secara agresif dan berterusan hasil risikan serta maklumat orang awam bagi membanteras aktiviti jenayah yang semakin kompleks di kawasan berkenaan.
Antara kejayaan terbesar dicatat pada 12 Mac apabila dua individu ditahan di Jalan Dam bersama rampasan 148 ekor burung liar dilindungi serta 64 sangkar, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM245,500.
Operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Dalam serbuan berasingan pada 18 Mac di Kampung Burung, dua lelaki tempatan diberkas bersama mercun tanpa permit bernilai hampir RM500,000, termasuk dua lori yang digunakan untuk tujuan pengangkutan.
Sementara itu, pada 25 Mac, seorang lelaki warga asing ditahan di Felda Sahabat 2 selepas didapati memiliki dadah jenis syabu serta ratusan bungkus rokok kretek yang dipercayai diseludup masuk ke kawasan tersebut.
Kesemua tangkapan kini disiasat di bawah pelbagai peruntukan undang-undang, termasuk Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.
Bagi suku pertama tahun ini, PGA Lahad Datu merekodkan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM6.6 juta, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pasukan keselamatan dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman di ESSZONE.