Skip to main content

Malaysia

PGA bongkar premis kayu balak haram di Sik, rampasan lebih RM4.3 juta

OBK yang dijalankan pada Selasa di Jeniang menyaksikan rampasan pelbagai mesin, jentera dan kayu balak yang dianggarkan bernilai RM4,338,545
OBK yang dijalankan pada Selasa di Jeniang menyaksikan rampasan pelbagai mesin, jentera dan kayu balak yang dianggarkan bernilai RM4,338,545. - Foto/ PGA

SIK: Kegiatan sebuah premis memproses kayu balak tanpa kelulusan di Jeniang dekat sini yang dipercayai beroperasi sejak setahun lalu terbongkar selepas diserbu dalam satu operasi bersepadu pada Selasa.

Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan kira-kira jam 10 pagi itu menyaksikan rampasan pelbagai mesin, jentera dan kayu balak yang dianggarkan bernilai RM4.34 juta.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, operasi dilakukan hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti pemprosesan kayu balak tanpa lesen di premis berkenaan.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an yang dipercayai pemilik premis turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti memproses kayu balak tanpa kelulusan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah sejak kira-kira setahun lalu.

“Pasukan serbuan turut menemui pelbagai jentera dan mesin pemprosesan serta longgokan kayu balak yang belum dan telah siap diproses,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata, kayu yang telah diproses di premis berkenaan dipercayai dihantar ke sekitar Pulau Pinang untuk penghasilan produk seterusnya.

Menurutnya, operasi tersebut melibatkan Cawangan Risik Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Majlis Perbandaran Sik, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kedah serta Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik.

Kes diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 (Negeri Kedah) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27 enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Balveer Singh berkata, Briged Utara PGA tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pemprosesan dan penyimpanan kayu balak tanpa kelulusan kerana ia boleh memberi kesan serius terhadap alam sekitar.

“Usaha risikan dan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi membanteras sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” ujarnya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pemprosesan kayu balak tanpa lesen supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement