SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Bahagian Pendidikan Islam mempelawa pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 yang ingin melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Selangor (UIS) memohon Tajaan Pendidikan Dermasiswa Khas Pengajian Tinggi Selangor.
JAIS dalam hantaran di media sosial memaklumkan, tajaan berkenaan merangkumi bidang pengajian Ijazah Sarjana Muda Usuluddin Dengan Multimedia + Diploma Pendidikan Pasca Siswazah; Ijazah Sarjana Muda Bahasa Al-Quran + Diploma Pendidikan Pasca Siswazah; dan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang Undang.
Permohonan terbuka kepada calon STAM yang memperoleh pangkat Jayyid Jiddan (sangat baik), dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh kepujian dalam Bahasa Melayu, lulus Bahasa Inggeris dan sekurang-kurangnya gred B dalam Bahasa Arab.
“Semua pelajar yang ditaja akan mendapat manfaat Kursus Intensif Bahasa Arab anjuran Islamic Educational Science and Cultural Organization (ICESCO) di luar negara selama tiga bulan,” menurut hantaran itu.
Tarikh permohonan adalah dari 4 April hingga 22 Mei bagi pengambilan pertama dan 3 Ogos hingga 5 Okt bagi pengambilan kedua, melalui laman sesawang https://epengajiantinggi.jais.gov.my/.
-- BERNAMA