Skip to main content

Malaysia

Perdagangan Malaysia dengan rakan dagang utama catat paras tertinggi RM1.127 trilion bagi Jan-April - Sim

JOHOR BAHRU, 27 April -- Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Sim Tze Tzin bercakap kepada pemberita pada Sesi Media Timbalan Menteri bersama Ahli Parlimen (MP) Johor, Serta Dewan Perniagaan dan Industri Cina Johor Bahru (JBCCCI) di sini hari ini._BERNAMA
Sim berkata perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan, masing-masing mencatat paras tertinggi bagi tempoh Januari hingga April. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Jumlah perdagangan Malaysia dengan rakan dagang utamanya mencapai rekod tertinggi sebanyak RM1.127 trilion dari Januari hingga April 2026, melepasi paras RM1 trilion dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Dalam catatan di laman Facebook, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan, masing-masing mencatat paras tertinggi bagi tempoh Januari hingga April.

Eksport mencecah RM609.31 bilion manakala import berjumlah RM517.40 bilion dalam tempoh yang sama. 

“Lebihan dagangan meningkat dua kali ganda tahun ke tahun kepada RM91.92 bilion,” katanya.

Beliau berkata sejak hari pertama memegang jawatan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus komited dalam usaha menarik pelaburan asing dan domestik.

Malaysia mencatatkan pencapaian pelaburan bersejarah selama tiga tahun berturut-turut di bawah kepimpinan Anwar, dengan pelaburan diluluskan mencecah RM329.5 bilion pada 2023, RM384.4 bilion (2024) dan RM426.7 bilion (2025).

Secara keseluruhan, Malaysia memperoleh pelaburan diluluskan sebanyak RM1.14 trilion di bawah pentadbirannya.

Menurut Sim, projek pelaburan biasanya mengambil masa untuk direalisasikan.

Katanya ini daripada pemerolehan tanah dan pembinaan kilang kepada pemasangan jentera, pengambilan tenaga kerja dan bermulanya operasi, impak penuh hanya dapat dilihat selepas beberapa tahun.

“Kini, selepas tiga tahun kerja keras oleh Kerajaan MADANI, pelaburan ini mula menjana hasil,” katanya.

Sim berkata aliran masuk pelaburan telah membawa kepada lebih banyak kilang didirikan, pengeluaran lebih tinggi dan prestasi eksport lebih kukuh, seterusnya menjana kekayaan yang lebih besar untuk negara.

Katanya ini mencerminkan kerja keras Perdana Menteri dan turut menghargai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan agensi berkaitan lain atas sumbangan mereka.

“Bagi pihak pembangkang yang terus menyerang Perdana Menteri, ini merupakan prestasi ekonomi yang cemerlang yang tidak dapat dinafikan. Malah, negeri-negeri yang ditadbir pembangkang turut mendapat manfaat daripada momentum ekonomi Malaysia yang luar biasa,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement