IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai peranan guru dalam membentuk generasi yang memiliki kekuatan akhlak dan jiwa bagi mendepani cabaran dunia yang kompleks.
Menurut Perdana Menteri, tugas guru bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi juga untuk membina keyakinan, mengangkat maruah insan dan menanam harapan serta cita-cita dalam kehidupan.
Perdana Menteri berharap guru-guru melihat secara positif sekiranya terdapat kritikan terhadap kepincangan dari segi moral kerana ia adalah sebahagian daripada masyarakat.
“Jadi sebab itu kalau terbeban dengan teguran dan kritikan, sebagainya yang tidak adil, saya, bagi guru-guru kena terima dengan baik untuk bangkitkan dan pastikan generasi akan datang jauh lebih baik daripada kita.
“Sebab itu, dia merangkumi dalam soal nilai kemanusiaan.
“Kalau dilihat perdebatan di luar itu, kadang-kadang luar pertimbangan yang dirangka, difikirkan, direnungkan dalam dunia pendidikan.
“Dunia pendidikan apa dia? Matlamatnya, menggali ilmu, meningkatkan mutu kefahaman masyarakat, anak-anak sekolah, menilai dengan baik, membentuk manusia, manusia yang mempunyai nilai dan akhlak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-55 di Casuarina @ Meru, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Anwar yang sesekali membahasakan dirinya sebagai 'Cikgu Anwar', berkata Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang menyiapkan kerangka pendidikan yang bukan sahaja memfokuskan kepada kemajuan ekonomi dan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) serta digital, malah terus mempertahankan jati diri dan nilai murni.
Menurutnya, hampir semua negara mempunyai dasar pendidikan mereka dan dinilai dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun, ujarnya, di Malaysia ada kelainannya, kerana dari satu sudut tidak mahu ketinggalan dalam teknologi baru, AI (kecerdasan buatan), generasi juga harus dipersiapkan dengan keperluan semasa, agar tidak ketinggalan.
“Tetapi dalam semua matlamat itu, untuk mencapai yang murni, tidak pernah kita abaikan atau remehkan kepentingan mempertahankan nilai kemanusiaan kita sebagai rakyat Malaysia dan nilai yang disebut sebagai akhlak masyarakat," kata beliau.
Anwar berkata, tanpa nilai dan adab, pembangunan hanya akan melahirkan kemajuan yang kehilangan arah.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas jasa, pengorbanan dan dedikasi mereka sebagai tunjang pembinaan anak bangsa dan negara.
"Moga seluruh warga pendidik terus dikurniakan kekuatan, kecekalan dan iltizam dalam mendidik
anak bangsa demi Malaysia yang lebih maju, sejahtera dan mampan," ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar berkata Kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi kebajikan guru termasuk melaksanakan penyelenggaraan dan naik taraf bilik guru di 3,500 sekolah.
Terdahulu, Fadhlina mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta bagi melaksanakan penyelenggaraan dan menaik taraf bilik guru di seluruh negara, selain RM50 juta bagi penyelenggaraan kuarters guru.
Sambutan Hari Guru tahun ini bertemakan ‘Guru Bitara, Nadi Negara'.