LOS ANGELES: Gabenor California Gavin Newsom pada Jumaat mengumumkan lebih 2,800 anggota bomba dan petugas kecemasan dikerahkan bagi melindungi komuniti di seluruh California, ketika negeri itu berdepan permulaan awal musim kebakaran hutan, lapor Xinhua.
“California mengerahkan semua sumber yang ada bagi memerangi kebakaran hutan,” kata gabenor itu dalam kenyataan media sambil menggesa penduduk supaya sentiasa bersedia, mempunyai pelan kecemasan dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan ketika berlaku kecemasan.
Setakat ini, lebih 28,000 ekar (113 kilometer persegi) kawasan musnah terbakar di seluruh negeri, manakala lebih 15,000 struktur terancam dan kira-kira 45,000 orang dikenakan arahan pemindahan.
Awal minggu ini, Newsom memperoleh bantuan persekutuan bagi usaha tindak balas kecemasan terhadap Kebakaran Sandy di Ventura County dan Kebakaran Bain di Riverside County, menurut kenyataan itu.
Anggota bomba sedang memadam sekurang-kurangnya 10 kebakaran hutan aktif yang memusnahkan ribuan ekar kawasan, selain mencetuskan arahan pemindahan dan nasihat berkaitan asap di beberapa bahagian negeri itu minggu ini.
Menurut pejabat Newsom, California melabur berbilion-bilion dolar dalam usaha pencegahan kebakaran hutan dan daya tahan hutan sejak 2021.
Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California dalam tinjauannya berkata cuaca kering luar biasa berlaku di seluruh Sierra Utara dan Timur serta berhampiran Sungai Colorado, dengan kemungkinan kemarau semakin meningkat di beberapa kawasan California Utara dalam tempoh empat bulan akan datang.
Jabatan itu turut menyatakan bahawa cuaca kering yang berterusan di sebahagian besar kawasan Barat Daya terus meningkatkan risiko bahan mudah terbakar.
-- BERNAMA-XINHUA