KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil akan mendapatkan penjelasan daripada pihak TikTok mengenai kesan krisis tenaga dunia berhubung ketegangan di Asia Barat terhadap operasi TikTok Shop di Malaysia terutama membabitkan aspek logistik penghantaran dan perkhidmatan.
Beliau berkata, penilaian itu penting khususnya bagi melihat implikasi terhadap aspek logistik perkhidmatan berkenaan dalam ekosistem platform tersebut.
Menurutnya, maklumat yang diperoleh akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dijadual berlangsung pada Selasa depan bagi perbincangan lanjut di peringkat kerajaan.
“Perkara ini perlu diteliti supaya kita dapat memahami kesan krisis geopolitik dan tenaga terhadap rakan niaga serta keseluruhan operasi TikTok Shop, termasuk perkhidmatan sokongan yang terlibat,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri program TikTok Shop Raikan Raya 2026 di MITEC Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Fahmi memaklumkan ekosistem TikTok Shop di Malaysia kini menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan dengan penglibatan jutaan pengguna.
“Setakat ini, lebih tujuh juta ‘live streamers’ terlibat dalam ekonomi TikTok Shop yang telah menjana kira-kira RM1.9 bilion dan membuka hampir 147,000 peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan itu membuktikan platform digital mampu menjadi pemangkin kepada ekonomi baharu, khususnya dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana.
“Ini memberi peluang kepada rakyat untuk menjana pendapatan sama ada melalui penjualan produk sendiri atau membantu memasarkan produk orang lain secara dalam talian.
“Banyak pusat NADI terletak di kawasan luar bandar dan boleh dimanfaatkan untuk melatih komuniti menjadi pencipta kandungan serta membantu memasarkan produk tempatan secara digital,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa TikTok Shop memperkukuh kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia melalui inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Dalam pada itu beliau turut menyatakan, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dijadual mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan TikTok di Singapura pada Jumaat ini bagi membincangkan beberapa isu berkaitan termasuk perkara berkenaan.
Beliau berharap capaian internet yang semakin baik di negara ini dapat terus dimanfaatkan oleh rakyat untuk menjana pendapatan secara fleksibel tanpa perlu bergantung kepada lokasi fizikal, sekali gus memperluas potensi perniagaan dalam talian.