SHAH ALAM: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan akibat tayar pecah dalam kejadian di Kilometer 31.8 Lebuhraya Shah Alam (KESAS) pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu kira-kira jam 12.10 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan sebuah lori yang berada di laluan dari Subang menuju ke Klang.
"Ketika kejadian, lori berkenaan telah berhenti di lorong kecemasan selepas mengalami kerosakan tayar.
"Bagaimanapun, sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki Melayu berusia lingkungan 40an dari arah sama telah melanggar bahagian kanan belakang lori tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, impak pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Ujarnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan.
"Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354 bagi menyalurkan maklumat berkaitan kemalangan ini," katanya. -Sinar Harian