Skip to main content

Malaysia

Penumpang terjatuh atas landasan LRT terselamat kerana sistem keselamatan PIES

jatuh LRT
Penumpang yang terjatuh ke landasan LRT di Stesen Abdullah Hukum petang Jumaat diselamatkan pasukan keselamatan. - Gambar/ FB Anthony Loke

KUALA LUMPUR: Sistem keselamatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya berjaya berfungsi dengan berkesan, sekali gus menyelamatkan nyawa seorang penumpang yang terjatuh ke atas landasan di Stesen Abdullah Hukum, petang Jumaat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata insiden itu menunjukkan tahap keberkesanan ciri keselamatan sedia ada apabila sistem Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) diaktifkan secara automatik ketika tren sedang menghampiri stesen berkenaan.

“Saya telah dimaklumkan mengenai satu insiden melibatkan seorang penumpang yang terjatuh ke landasan LRT di Stesen Abdullah Hukum petang tadi (Jumaat), yang turut mengaktifkan PIES ketika tren sedang menghampiri stesen.

“Saya bersyukur kerana nyawa mangsa berjaya diselamatkan dan sistem keselamatan yang tersedia telah berfungsi sebagaimana sepatutnya dalam situasi kecemasan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada masa sama, Anthony mengingatkan semua pengguna pengangkutan awam agar sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan keselamatan ketika berada di kawasan stesen dan platform demi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta kakitangan Prasarana Malaysia Berhad atas tindakan pantas dan profesional dalam mengendalikan insiden berkenaan.

Anthony juga mengucapkan terima kasih kepada para penumpang lain yang memberikan kerjasama serta menunjukkan kesabaran sepanjang operasi menyelamat dan pengurusan gangguan perkhidmatan dijalankan.

Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang mengalami gangguan pada jam 6.09 petang susulan kejadian tersebut telah kembali beroperasi sepenuhnya pada jam 6.59 petang selepas pemeriksaan keselamatan selesai dijalankan.

Penumpang yang terlibat telah berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

 

Must Watch Video