Skip to main content

Malaysia

IPT bukan ‘lubuk’ rasuah: Menilai realiti berasaskan fakta, bukan persepsi

sprm
Tindakan pihak tertentu membina naratif bahawa IPT adalah “lubuk rasuah” berdasarkan beberapa kes adalah satu bentuk generalisasi melampau yang berbahaya. - Gambar hiasan

KENYATAAN bahawa institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini dilabel sebagai “lubuk rasuah” seperti yang dilaporkan baru-baru ini wajar diteliti secara objektif dan berasaskan fakta, bukan persepsi umum atau kes terpencil.

Saya menyokong pendirian Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Pengajian Tinggi bahawa pelabelan sedemikian adalah tidak adil dan berisiko mencemarkan reputasi keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi negara yang selama ini berfungsi sebagai benteng pembinaan integriti, ilmu dan nilai.

Dalam konteks Universiti Malaysia Sabah (UMS), pelaksanaan tadbir urus bukan sesuatu yang retorik, tetapi disokong oleh sistem kawalan dalaman yang menyeluruh dan berstruktur melalui pelbagai mekanisme kawalan yang dilaksanakan secara konsisten Pusat Jaminan Kualiti UMS melalui Bahagian Kualiti Perkhidmatan memainkan peranan dalam melaksanakan Tadbir Urus Baik di bawah Kluster Inspektorat yang memantau, menilai dan mengimplementasi intervensi secara berkala. Ini termasuklah membuat penilaian Pengurusan Organisasi melalui senarai Semak Tadbir Urus Baik yang telah diluluskan oleh pihak Berkuasa Pengurusan Universiti.

Selain itu juga, pelaksanaan audit dalaman dan luaran yang pelbagai dan meyeluruh secara tahunan dilaksanakan secara konsisten bagi tujuan semak dan imbang (check & balance) kecekapan operasi dan integriti dalaman. Ini merangkumi Audit Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) bagi tiga (3) skop utama iaitu MS-ISO 9001:2015, Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) ISO/IEC27001:2013 dan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan standard (OSHMS) ISO45001:2018; Audit Indeks Akauntabiliti dan Audit Mengejut Kewangan. Selain itu, Pelan Pengurusan Risiko Universiti juga telah diwujud dan dilaksanakan berdasarkan MS- ISO 31000:2010 Risk Management-Principles and Guidelines. Mekanisme yang menyeluruh ini bukan bersifat kosmetik, tetapi berfungsi sebagai sistem amaran awal (early warning system) dalam mengesan dan mencegah sebarang bentuk pelanggaran integriti dan fraud, termasuk rasuah.

Bahagian Pengurusan Integriti UMS juga memainkan peranan utama dalam memperkukuh usaha pencegahan melalui program kesedaran integriti dan antirasuah, Pemantauan risiko Rasuah berasaskan penilaian berkala, aktiviti kolaborasi berterusan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lain-lain agensi. Pendekatan ini selari dengan prinsip bahawa integriti bukan hanya tentang menghukum salah laku, tetapi membina budaya organisasi yang menolak rasuah secara kolektif.

Tidak dinafikan kes rasuah wujud di setiap agensi dan ia perlu ditangani tanpa kompromi. Saya sebagai salah seorang pentadbir IPT tidak menafikan risiko ini, bagaimanapun semua warga IPT adalah komited mengurus risiko tersebut secara sistematik.

Membina naratif bahawa IPT adalah “lubuk rasuah” berdasarkan beberapa kes adalah satu bentuk generalisasi melampau yang berbahaya. Dalam sesebuah organisasi besar, sama ada sektor awam atau swasta kewujudan kes terpencil bukan bukti kegagalan sistem. Sebaliknya, dalam banyak keadaan ia membuktikan bahawa sistem kawalan dan pemantauan berfungsi dengan baik.

Dalam era maklumat di hujung jari, tajuk yang bersifat umum bukan sahaja menjejaskan reputasi institusi, tetapi juga boleh menghakis kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan tinggi negara.

Semasa saya mengikuti pengajian komunikasi, di bawah Kuliah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan (KIRKHS) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, melalui kursus Media & Ethics, prinsip kewartawanan bukan sekadar melaporkan malahan ia membentuk realiti sosial. Dalam konteks ini, kita perlu bertanya secara jujur adakah laporan dibuat berdasarkan analisis data yang menyeluruh, atau sekadar bersandarkan kes terpencil yang diperbesarkan, serta adakah tajuk mencerminkan kandungan, atau sekadar menarik perhatian. Media mempunyai pengaruh besar dan melalui pengaruh tersebut, ia perlu disulami dengan tanggungjawab untuk tidak membina persepsi yang menyesatkan masyarakat.

Saya tidak menolak keperluan untuk mengkritik IPT tau mana-mana agensi Kerajaan lain. Malah kritikan berasaskan fakta adalah penting untuk penambahbaikan berterusan. Namun, kita perlu membezakan antara kritik yang membina dan pelabelan yang merosakkan kepercayaan awam. Apabila naratif yang tidak seimbang disebarkan, implikasinya bukan kecil. Ia boleh menghakis tanggapan dan kepercayaan umum terhadap IPT, menjejaskan moral warga IPT dan mencalar imej pendidikan tinggi negara. 

Pada saya, IPT sebagai gedung ilmu yang menghimpun para pentadbir dan para ilmuan serata negara tidaklah sempurna sepenuhnya. Namun ia jauh daripada gambaran simplistik sebagai “lubuk rasuah”. Hakikatnya seluruh IPT mempunyai sistem dan mekanisme dalam melaksana tadbir urus baik, membentuk nilai dan membudaya integiriti. 

Justeru, perbincangan mengenai rasuah dalam IPT mesti kembali kepada asas iaitu fakta, data dan konteks, bukan hanya untuk mensensasikan demi keuntungan semata-mata. Ini kerana dalam dunia yang dipacu persepsi, satu tajuk yang tidak seimbang mampu meruntuhkan kepercayaan yang dibina bertahun-tahun. Ia merupakan risiko yang jauh lebih besar daripada sekadar sebuah laporan.

 

Zuraini Hamdin
Timbalan Pengarah (Kualiti Perkhidmatan),
Pusat Jaminan Kualiti, Universiti Malaysia Sabah,
Merangkap Setiausaha, Majlis Pengurusan Risiko Universiti Awam (MARISK).
 

 

Must Watch Video