SIBU: Seorang peniaga warga emas berusia lingkungan 60-an mengalami kerugian RM190,800 selepas menjadi mangsa penipuan urusan tukaran mata wang dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Azari Miskon berkata kejadian dipercayai bermula bulan lepas apabila anak mangsa yang bekerja di Papua New Guinea memintanya membuat bayaran ke beberapa akaun bank tempatan kononnya untuk urusan pertukaran mata wang Ringgit Malaysia kepada Dolar Hong Kong.
“Anak pengadu memberitahu bahawa dia telah berkenalan dengan seorang individu dikenali ‘David’ melalui WhatsApp dan menawarkan tukaran mata wang yang akan memberi keuntungan besar, iaitu lebih tinggi daripada kadar tukaran wang yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pada dua hari lepas, pengadu bersetuju membantu anaknya dan telah membuat pemindahan wang ke akaun bank tempatan yang diberikan suspek.
Katanya semakan bagaimanapun mendapati wang tukaran tersebut tidak dimasukkan ke akaun bank Hong Kong milik kawan anak mangsa seperti dijanjikan.
Azari berkata warga emas itu kemudiannya membuat laporan selepas menyedari ditipu kerana individu yang dikenali sebagai “David” telah gagal dihubungi dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang pemindahan wang ke akaun peribadi pihak tidak dikenali,” katanya.
-- BERNAMA