Skip to main content

Advertisement

Malaysia

Peniaga Bazar Aidilfitri Dataran Senawang diingatkan jaga kebersihan, elak deposit hilang 

 SEREMBAN, 10 Mac -- Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban Datuk Masri Baharuddin (dua, kiri) memeriksa lesen peniaga ketika mengadakan pemantauan di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Masri (dua, kiri) memeriksa lesen peniaga ketika mengadakan pemantauan di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang, Seremban, 10 Mac 2026. --fotoBERNAMA

SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga bazar Aidilfitri di Dataran Senawang yang gagal menjaga kebersihan termasuk tidak memulangkan deposit sekiranya tapak gerai didapati terlalu kotor.

Datuk Bandar MBS Datuk Masri Baharuddin berkata setiap peniaga dikenakan bayaran deposit sebagai jaminan supaya mereka mematuhi syarat ditetapkan, khususnya urusan berkaitan kebersihan.

“Sekiranya peniaga meninggalkan sampah di tapak perniagaan mereka, deposit tidak akan dipulangkan. Semua peniaga di sini maklum tentang perkara ini, iaitu antara syarat wajib dipatuhi dalam perjanjian bagi memastikan tahap kebersihan di sekitar tapak bazar terus terjamin,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Bazar Ramadan Dataran Senawang, di sini.

Masri berkata bagi memastikan pematuhan peraturan itu, pemantauan dilakukan setiap dua jam sekali pada 6 petang dan 2 pagi, iaitu waktu akhir berniaga bagi memberikan laluan kepada kerja-kerja pembersihan.

Beliau berkata tinjauan mendapati keadaan bazar setakat ini berada pada tahap memuaskan, serta mengingatkan kepada peniaga dan pengunjung, kebersihan bandar bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tempatan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak.

Beliau berkata MBS akan bekerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, termasuk berkaitan kesalahan pembuangan sampah kecil di tempat awam.

Ditanya mengenai maklum balas peniaga terhadap pengurusan MBS dibazar itu tanpa melibatkan penganjur, rata-rata peniaga memberikan maklum balas positif.

Beliau berkata MBS akan mengadakan sesi penilaian bagi meneliti sebarang kekurangan serta membuat penambahbaikan untuk penganjuran bazar pada masa akan datang.

Bazar Dataran Senawang menempatkan 309 peniaga dan antara bazar Aidilfitri terbesar di Negeri Sembilan. 

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video