KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Rukun Tetangga 2012 (Akta 751) Pindaan 2026 secara rasmi mulai Rabu menjadi langkah penting dalam mentransformasikan peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) agar lebih dinamik, responsif dan berkesan, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Menerusi hantaran di platform X, Aaron berkata, antara fokus utama pindaan itu ialah penyelarasan tempoh pelantikan dengan memanjangkan tempoh pelantikan Anggota Jawatankuasa KRT (AJKRT) bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan kelestarian pelaksanaan program komuniti.
Beliau berkata, pindaan berkenaan turut memberi penekanan kepada pemantapan peruntukan akta melalui penambahbaikan peruntukan sedia ada agar kekal relevan dengan keperluan semasa dan cabaran sosial di peringkat akar umbi.
“Pindaan ini telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 2 Dis 2025 dan di Dewan Negara pada 17 Dis 2025 dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan institusi komuniti demi kesejahteraan rakyat yang inklusif dan harmoni,” katanya.
-- BERNAMA