SEREMBAN: Tindakan Datuk Mubarak Dohak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungai Ujong, pada Ahad, tidak boleh diterima atau diiktiraf.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kenyataan memaklumkan, ini kerana Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Beliau berkata, pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong dibuat mengikut pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025.
Aminuddin berkata, Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan pada 17 April lepas bersetuju menasihati dan menerima kesepakatan Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong yang memberhentikan Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong ke-10.
Beliau berkata, ini selaras dengan peruntukan Fasal 14(3) UUTKNS atas 33 kesalahan berkaitan pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong.
“Saya ingin memaklumkan bahawa fungsi DKU Negeri Sembilan ialah berperanan sebagai badan penasihat atas perkara berkaitan adat istiadat orang Melayu termasuk soal pemilihan dan perlucutan jawatan Undang Luak yang empat seperti diperuntukkan dalam Perkara 16 UUTKNS.
“Ini termasuk dalam urusan pemberhentian seseorang Undang Luak daripada memegang pesaka mengikut adat luaknya mengikut Fasal 14(3) UUTKNS,” katanya.
Aminuddin berkata, nasihat penerimaan oleh DKU terhadap pemberhentian penyandang pesaka Datuk Undang Luak di Negeri Sembilan juga pernah dilaksanakan sebelum ini apabila penyandang pesaka Undang Luak Johol ke-14 Datuk Mohammad Jan Abdul Ghani diberhentikan pada 27 Mac 2016 atas 13 kesalahan berkaitan pesaka dan adat Luak Johol.
Jumaat lepas, DKU menerima pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Undang Luak Sungei Ujong susulan sidang khas yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah yang dipengerusikan Tuanku Muhriz.
Aminuddin dilaporkan berkata pada sidang khas itu, Tuanku Muhriz menguatkuasakan Fasal 24 UUTKNS 1959 dengan menjemput Ibu Soko Klana Hulu dan Waris Klana Hulu untuk turut bersama ke sidang khas berkenaan.
-- BERNAMA