Skip to main content

Malaysia

Penggunaan kad asing di pam RON95 disekat mulai 1 April

Foto: Astro AWANI
Azman (foto) berkata langkah itu juga dapat mengurangkan beban pekerja stesen untuk 'menjaga' pam secara fizikal, kerana sistem itu sendiri berfungsi sebagai penapis. -Gambar fail

PUTRAJAYA: Bermula Rabu depan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menyekat penggunaan kad kredit dan kad debit asing bagi pembelian petrol RON95 di semua stesen minyak di seluruh negara. 

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata langkah itu juga dapat mengurangkan beban pekerja stesen untuk 'menjaga' pam secara fizikal, kerana sistem itu sendiri berfungsi sebagai penapis. 

"Kita sedang mengintegrasikan sistem pam minyak dengan pangkalan data identiti (MyKad) dan sistem perbankan. 

"Selepas 1 April ini, sistem secara automatik akan menapis transaksi," katanya kepada Astro AWANI, di sini, pada Jumaat. 

Azman menambah, beberapa stesen minyak kini sudah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan mekanisme baharu berkenaan. 

"Sekiranya pengguna ingin membuat pembelian menggunakan kad asing, mereka perlu berbuat demikian di kaunter,” katanya. 

Menurutnya, langkah itu bertujuan memudahkan pemantauan pengusaha stesen minyak serta pihak penguat kuasa, selain memastikan pematuhan terhadap peraturan sedia ada. 

Beliau menegaskan, walaupun penggunaan kad asing masih dibenarkan, ia hanya terhad kepada transaksi di kaunter dan bukan di pam minyak. 

"Pendekatan ini juga akan membantu memperkukuhkan penguatkuasaan serta mengelakkan sebarang penyalahgunaan subsidi RON95," katanya.

 

Must Watch Video