Skip to main content

Dunia

Seorang calon tarik diri daripada persaingan Setiausaha Agung PBB

Virginia Gamba, bekas Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
Maldives memaklumkan kepada Presiden UNGA dan Presiden Majlis Keselamatan mengenai keputusannya untuk menarik balik pencalonan Gamba, menurut nota kepada koresponden yang dikeluarkan oleh jurucakap Pejabat Presiden UNGA. - Gambar X

NEW YORK: Maldives memutuskan untuk menarik balik pencalonan Virginia Gamba, bekas Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sarjana Argentina, bagi jawatan Setiausaha Agung PBB yang seterusnya, lapor Pejabat Presiden Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-80 pada Khamis, menurut Xinhua.

Maldives memaklumkan kepada Presiden UNGA dan Presiden Majlis Keselamatan mengenai keputusannya untuk menarik balik pencalonan Gamba, menurut nota kepada koresponden yang dikeluarkan oleh jurucakap Pejabat Presiden UNGA.

Dengan penarikan diri itu kini terdapat empat calon bagi jawatan Setiausaha Agung PBB yang seterusnya iaitu bekas Presiden Chile Michelle Bachelet, yang asalnya dicalonkan oleh Chile, Brazil dan Mexico; Rafael Grossi, Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) semasa, dicalonkan oleh Argentina; Macky Sall, bekas Presiden Senegal, dicalonkan oleh Burundi; dan Rebeca Grynspan, ahli ekonomi dan bekas Naib Presiden Costa Rica, dicalonkan oleh Costa Rica.

Menurut dokumen yang disiarkan di laman sesawang PBB pada Khamis, Chile menarik balik pencalonannya terhadap Bachelet, namun beliau akan kekal sebagai calon yang dicalonkan oleh Brazil dan Mexico.

Antonio Guterres, Setiausaha Agung PBB yang kesembilan dan semasa, memulakan jawatannya pada Januari 2017.

Setiausaha Agung PBB yang seterusnya akan mengambil alih peranan itu bermula 1 Januari 2027.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video