Skip to main content

Malaysia

Pengawal keselamatan maut dipukul

51734766466_MatiMayatBunuh.jpg
Mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan itu dipercayai diserang menggunakan objek tumpul oleh seorang lelaki dalam kejadian berkenaan. -Gambar hiasan

KLANG: Seorang pengawal keselamatan maut dalam pergaduhan di sebuah pondok keselamatan di taman perumahan di Bandar Bukit Raja di sini pada Ahad.

Mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan itu dipercayai diserang menggunakan objek tumpul oleh seorang lelaki dalam kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Polis S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang berlaku pada awal pagi, kira-kira jam 1 pagi.

“Mangsa yang mengalami kecederaan akibat serangan fizikal telah dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 4.18 pagi ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan mangsa di lokasi kejadian.

Katanya, suspek dipercayai bertindak menyerang mangsa menggunakan objek tumpul sehingga menyebabkan kecederaan parah.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas sebatang besi pengunci kereta yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau jenayah serta dua rekod berkaitan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -Sinar Harian

 

Must Watch Video