BUKIT MERTAJAM: Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia empat bulan pada 9 Mac lalu.
Tertuduh Nur Farhana Fazmar Abdullah, 22 tahun, mengangguk faham sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang bayi kepada Ummu Habibah Wahab, 29 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taska Pintar Hospital Seberang Jaya (HSJ), di antara jam 1 hingga 4 pagi, 9 Mac lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman gantung.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili peguam Muhaimin Hashim.
Kes akan disebut semula pada 23 Jun depan untuk serahan laporan kimia dan bedah siasat.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lagi pengasuh yang ditahan bersama tertuduh bagi membantu siasatan kes terbabit dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Wanita berusia 22 tahun itu dibebaskan dengan jaminan mahkamah untuk menghadiri setiap perbicaraan kes terbabit sebagai saksi pendakwaan.
Media sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang ditempatkan di pusat jagaan kanak-kanak 24 jam dalam kawasan Hospital Seberang Jaya meninggal dunia.
Mangsa, Hayl Haarith Mohd Syafaeez dikejarkan ke Jabatan Kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 4 pagi, sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Semasa kejadian, ibunya, Ummu Habibah Wahab, 30 tahun, seorang jururawat, sedang bekerja syif malam.
Bayi itu adalah anak pertama Ummu Habibah dan baharu dihantar ke pusat berkenaan apabila wanita itu kembali bekerja selepas menamatkan tempoh berpantang.