Skip to main content

Malaysia

4 remaja mengaku salah jerut leher, cederakan pemandu e-hailing wanita

SINAR HARIAN
Kesemua tertuduh hadir ke Mahkamah Majistret Alor Gajah ditemani keluarga masing-masing.

ALOR GAJAH: Empat remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang pemandu e-hailing wanita, awal bulan ini.

Pengakuan itu dibuat kesemua tertuduh berusia antara 14 hingga 17 tahun di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, 42, menggunakan sebatang besi serta menjerut leher mangsa sehingga mendatangkan kecederaan.

Perbuatan itu dilakukan pada 4 Mei 2026 sekitar jam 12.30 tengah malam di kawasan berhampiran Hutan Kuala Sungai Baru dalam daerah Alor Gajah,

Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin yang memohon satu tarikh baharu bagi mendapatkan laporan akhlak selain menawarkan jaminan RM2,000 terhadap setiap tertuduh.

Kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Goh Jee Chee memohon agar jaminan dikurangkan kepada RM1,000.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM1,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat penjaga perlu menemani mereka setiap kali hadir ke mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 24 Jun depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan laporan akhlak.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan seorang pemandu e-hailing wanita berdepan detik cemas apabila dipukul dan dijerut oleh empat penumpang remaja selepas dipercayai tidak mempunyai wang untuk membayar tambang.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kesemua suspek terdiri dua remaja lelaki berusia 15 dan 17 tahun serta dua remaja perempuan berusia 14 tahun dengan hanya seorang daripadanya masih bersekolah.

Siasatan awal mendapati mangsa mengambil kesemua suspek berkenaan dari kawasan Bukit Rambai sekitar jam 12.30 tengah malam untuk dihantar ke Pekan Kuala Sungai Baru.

Setibanya di kawasan berhampiran hutan di Kuala Sungai Baru, salah seorang suspek meminta mangsa memberhentikan kenderaan dengan alasan mahu mencari seseorang selain mendakwa tidak mempunyai wang untuk membuat bayaran secara dalam talian.

Selang beberapa minit kemudian, suspek dipercayai bertindak agresif dengan menyerang mangsa menggunakan objek keras selain menjerut leher mangsa dari arah belakang kerusi pemandu serta mengugut supaya tidak meminta pertolongan.

Mangsa berjaya meloloskan diri dengan memandu keluar dari kawasan kejadian sebelum tampil membuat laporan polis. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video

Advertisement