Skip to main content

Malaysia

Pengarah KPDN Kelantan meninggal dunia akibat kanser

KOTA BHARU, 7 April (Bernama) -- Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail meninggal dunia akibat kanser usus awal pagi ini.
Arwah Azman dikenali media sebagai seorang yang sangat mesra dan sering membantu ketika berada di lapangan untuk membuat liputan berita mengenai KPDN. --fotoBERNAMA

KOTA BHARU: Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail meninggal dunia akibat kanser usus awal pagi ini.

KPDN Kelantan dalam kenyataan memaklumkan perkara itu disahkan oleh anak saudara Allahyarham, Ahmad Danial Asyee selepas arwah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pada 2.40 pagi.

"Allahyarham akan disolatkan di Masjid Al-Baqi Mukim Mujur, Jelawat pada 9 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuin Pasir, Jelawat, Bachok," menurut kenyataan itu.

Azman meninggalkan seorang balu serta lima anak. Allahyarham sebelum ini ditidurkan sejak seminggu lepas akibat komplikasi penyakit kanser usus dan berada dalam pemantauan pihak hospital sejak beberapa bulan yang lepas.

"Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat warga KPDN, khususnya di Kelantan. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan seluruh ahli keluarga diberi kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian ini," menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, wartawan penyiaran daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) Majidah Ismail, 49, berkata pemergian Azman merupakan kehilangan besar terhadap pengamal media, terutamanya di Kelantan kerana arwah seorang yang sangat mesra dan sering membantu ketika berada di lapangan untuk membuat liputan berita mengenai KPDN.

"Arwah juga pernah terlibat dalam beberapa program yang dianjurkan Kelab Media Kelantan Darul Naim dan sering memberikan pandangan untuk menjayakan sesuatu program seperti Malam Anugerah Kewartawanan Kelantan pada 2023," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video