Skip to main content

Malaysia

Penetapan harga tambang secara bersama oleh persatuan dilarang - Armizan

Armizan Mohd Ali
Armizan berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang meneliti tindakan yang diambil oleh MITA dan persatuan yang terlibat  itu di bawah Seksyen 4(2)(a), Akta Persaingan 2010. - Gambar fail/Sinar Harian

PUTRAJAYA: Sebarang bentuk perjanjian, persefahaman atau keputusan bersama oleh persatuan berkaitan penetapan harga tambang, termasuk kadar minimum atau siling dilarang kerana mengandungi elemen kartel yang menjejaskan pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata demikian sebagai mengulas pengumuman kadar tambang siling baharu bagi bas atau van persiaran yang dibuat oleh Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) dan beberapa persatuan semalam.

Beliau berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang meneliti tindakan yang diambil oleh MITA dan persatuan yang terlibat  itu di bawah Seksyen 4(2)(a), Akta Persaingan 2010.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memandang serius inti pati sidang media MITA yang turut disertai tiga persatuan dan badan lain semalam yang mengumumkan kadar tambang siling baharu bagi bas atau van persiaran yang berkuatkuasa serta-merta.

"Sungguhpun dimaklumi kenaikan harga diesel mendatangkan implikasi kos kepada industri, namun diharapkan semua pihak meneliti sebarang tindakan yang diambil untuk memastikan kepatuhan kepada mana-mana kerangka perundangan yang sedang berkuat kuasa," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Semalam, MITA mengumumkan kadar tambang bas persiaran kini ditetapkan sehingga RM1,100 bagi siri lawatan dan antara RM1,900 hingga RM2,200 untuk lawatan harian domestik, manakala kos sewaan van pula adalah sehingga RM900 bagi siri lawatan.

MITA memaklumkan kadar tambang siling baharu bagi bas dan van persiaran itu ditetapkan bagi membantu pengendali dan pelancong menyesuaikan diri dengan kenaikan harga diesel.

Menurut persatuan itu, langkah tersebut diambil berikutan bas dan van persiaran serta feri tidak dimasukkan dalam mekanisme subsidi diesel negara sejak subsidi pukal dimansuhkan pada 2024.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video