KUALA LUMPUR: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) hari ini melancarkan Fasa Ketiga Projek Penerbitan Buku PENA–Malaysia MADANI sebagai usaha berterusan memperkasakan industri perbukuan dan sastera tempatan.
Presiden PENA Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata penulis boleh menghantar manuskrip lengkap dalam pelbagai genre termasuk novel, cerpen, puisi, drama pentas, buku umum, biografi, memoir, travelog dan buku bergambar kanak-kanak mulai hari ini hingga 31 Dis.
Beliau berkata susulan kejayaan fasa terdahulu, fasa ketiga ini diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM1 juta yang diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus membuktikan keprihatinan tinggi kerajaan terhadap pembangunan intelektual.
"Projek ini bukan sekadar platform untuk penulis memperkenalkan diri, tetapi bertujuan membina ekosistem perbukuan yang menyeluruh yang mana penulis, penerbit, pencetak, ilustrator dan editor mendapat manfaat bersama," katanya pada sidang media bersempena dengan pelancaran projek tersebut di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia MADANI Mohd Khair Ngadiron yang juga Penasihat Jawatankuasa Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 serta Bendahari PENA Azalan Hussain.
Mengulas mengenai proses pemilihan, Mohamad Saleeh berkata manuskrip akan melalui proses penilaian yang ketat oleh pakar dalam tempoh enam bulan daripada tarikh penerimaan manuskrip lengkap.
Sementara itu, Mohd Khair berkata bagi fasa ketiga itu, setiap judul terpilih akan diterbitkan secara profesional dengan cetakan awal sebanyak 1,000 naskhah, selain menawarkan bayaran royalti sebanyak 10 peratus kepada penulis.
Beliau turut menyifatkan komitmen Perdana Menteri dalam merangsang budaya membaca dalam kalangan masyarakat sebagai luar biasa, termasuk memberikan baucar buku kepada pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Sejak diperkenalkan pada 2024, Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia MADANI telah berjaya menerbitkan lebih 128 judul buku melibatkan lebih 150 penulis tempatan, dengan pengedaran meluas ke 2,292 sekolah menengah, 20 universiti awam dan perpustakaan desa di seluruh negara.
Penulis yang berminat boleh menghantar manuskrip lengkap di bukupena.com.my.
-- BERNAMA