Skip to main content

Malaysia

Pemohon pasport diingatkan tidak guna gambar AI ketika permohonan dalam talian - KP Imigresen

Zakaria shaaban
Zakaria (foto) berkata pihaknya telah mengesan lebih tiga kes melibatkan penggunaan gambar AI oleh pemohon yang dipercayai ingin memperbaiki penampilan diri dalam dokumen tersebut. -Foto Astro AWANI

PUTRAJAYA: Orang ramai diingatkan supaya tidak menggunakan gambar yang dihasilkan melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) ketika membuat permohonan pasport antarabangsa secara dalam talian.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata pihaknya telah mengesan lebih tiga kes melibatkan penggunaan gambar AI oleh pemohon yang dipercayai ingin memperbaiki penampilan diri dalam dokumen tersebut.

Menurutnya, walaupun gambar berkenaan kelihatan sempurna, pegawai yang memproses permohonan mempunyai kepakaran untuk mengesan sebarang manipulasi.

“Kita ingin tegaskan supaya pemohon pasport tidak menggunakan gambar menggunakan teknologi AI.

"Mungkin dia nak gambar cantik, yang gelap jadi cerah, yang kurang handsome nak bagi handsome. Tetapi kita ada kepakaran di peringkat pegawai yang memproses dan mereka boleh bezakan.

"Kita akan detect apabila pemohon datang untuk kutipan pasport,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), di sini, pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Zakaria berkata pasport baharu akan dikeluarkan secara berperingkat bermula 1 Jun ini dengan dilengkapi 94 ciri keselamatan, berbanding 49 sebelum ini.

Katanya, penambahbaikan itu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan serta menyukarkan cubaan pemalsuan.

Antara ciri baharu termasuk elemen visual tersembunyi, cetakan ultraungu (UV), hologram serta teknologi forensik khas yang hanya boleh dikesan menggunakan mesin berteknologi tinggi.

“Malah benang jahitan pada buku pasport itu sendiri mempunyai ciri keselamatan tersendiri.

"Setiap helaian juga mempunyai perbezaan tertentu yang boleh dikenal pasti menerusi pemeriksaan forensik,” katanya.

Pengeluaran pasport baharu akan dimulakan di empat lokasi iaitu Ibu Pejabat Imigresen di Menara Ikhlas Putrajaya, Pejabat Pasport Jalan Duta, UTC Wangsa Maju dan Pejabat Imigresen Shah Alam sebelum diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat menjelang akhir Julai.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat supaya tidak tergesa-gesa menukar pasport sedia ada sekiranya tempoh sah laku dokumen masih melebihi enam bulan.

“Pasport lama masih sah digunakan untuk perjalanan ke luar negara. Jangan risau dan tidak perlu berebut-rebut datang ke pejabat imigresen semata-mata mahu mendapatkan pasport baharu.

“Kalau semua datang serentak, kita bimbang kapasiti jabatan tidak dapat menampung permintaan harian,” katanya lagi.
 

Must Watch Video

Advertisement