Skip to main content

Malaysia

Pembaiki pendingin hawa didakwa rompak, cederakan wanita di dalam lif stesen MRT

51551426195_MAHKAMAHSESYEN.jpg
Seorang lelaki yang klip videonya tular merompak serta mencederakan seorang wanita di dalam lif stesen MRT dua minggu lepas, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Pembaiki pendingin hawa,  G.Thinathayaalan, 26,  bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Tertuduh yang berkemeja biru tua dan seluar paras lutut didakwa merompak pengurus bank Lee Meei Shan, 48, dengan melarikan kad pengenalan, lesen memandu, dua kad ATM bank, dua kad kredit bank dan wang tunai RM400  juga telah sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di dalam lif Stesen MRT, Taman Mutiara, Cheras di sini pada 6.45 pagi, 14 Feb lepas mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N.Joy Jothi  tidak menawarkan wang jaminan  kerana perbuatan yang dilakukan tertuduh sangat kejam selain mengambil kira kejadian itu mendapat tumpuan masyarakat umum selepas  tular di media sosial.

“Kes ini  menjadi tular kerana kejadian dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV). Pohon jaminan tidak dibenarkan berikutan kejadian ini sangat kejam,” katanya.

BACA: Wanita dibelasah sebelum disamun dalam lif di stesen MRT

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan untuk jaminan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 15 Mac untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pada 14 Feb lepas, berdasarkan rakaman CCTV selama 55 saat,  mangsa yang menaiki lif seorang diri, dipukul dan ditendang suspek sebelum melarikan kad pengenalan, kad bank dan wang tunai RM400.

Wajah suspek itu juga agak jelas kelihatan.  

Thinathayaalan juga didakwa di dua buah Mahkamah Sesyen berasingan.


Di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan rompak bersenjata ke atas seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah kedai serbaneka yang dipercayai dilakukan 15 minit sebelum  kejadian rompak di dalam lif stesen MRT.

Dia didakwa merompak  Hossain Md Mobarok dengan melarikan lapan kotak rokok jenama Dunhill di Kedai KK Mart Taman Tayton View, Cheras pada 6.30 pagi, 14 Feb lepas mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu  serius dan tertuduh yang tidak diwakili peguam juga tidak membuat sebarang rayuan kepada mahkamah.


Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Mac untuk sebutan semula kes.

Thinathayaalan juga mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah atas tuduhan  merompak sehingga mendatangkan kecederaan terhadap tukang cuci  warga Indonesia, Miftahul Jannah ,29, dengan mengambil sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM1,800.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di dalam bilik sewa di Jalan Manis, Taman Segar, Cheras pada 6.40 pagi, 10 Feb lepas mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamaluddin tidak menawarkan jaminan manakala Thinathayaalan yang tidak diwakili peguam juga tidak membuat rayuan.

Mahkamah menetapkan 1 April  untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

Must Watch Video