Skip to main content

Malaysia

Pemandu Proton Inspira ditahan susulan kemalangan tiga kenderaan di NKVE

SINAR HARIAN
Tangkap layar video tular memaparkan kemalangan di Kilometer 28 Lebuhraya NKVE menghala ke Plaza Tol Duta pada Sabtu. -Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 28 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Plaza Tol Duta, di sini, pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata pihaknya mengesan rakaman video tular berkaitan kejadian itu di media sosial.

“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11 malam, melibatkan sebuah Toyota Hilux, Proton Wira dan Proton Inspira.

“Siasatan awal mendapati Proton Inspira dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun dipercayai terbabas sebelum berhenti di lorong kanan lebuh raya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Zamzuri berkata, sebuah Proton Wira dipandu lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun kemudian melanggar kenderaan berkenaan sebelum sebuah Toyota Hilux dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun turut merempuh Proton Inspira tersebut.

“Insiden itu menyebabkan Proton Inspira dan Toyota Hilux terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar penghadang jalan.

"Kesemua pemandu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Menurut beliau, Toyota Hilux mengalami kerosakan pada bampar belakang, sensor undur, bonet hadapan, bampar hadapan serta tangki air.

Proton Wira pula mengalami kerosakan pada bampar, bonet, lampu hadapan kiri dan kanan serta fender, manakala tahap kerosakan Proton Inspira masih dalam siasatan.
Mohd Zamzuri berkata, polis telah menahan pemandu Proton Inspira bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Antara tindakan diambil termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), merakam keterangan saksi, melakukan lawatan ke lokasi kejadian serta pemeriksaan dan pengambilan gambar kenderaan terlibat,” katanya.

Must Watch Video