KUALA LUMPUR: Cadangan memperkenalkan pampasan automatik kepada keluarga mangsa dalam kes jenayah serius seperti bunuh dilihat mampu mempercepatkan keadilan, khususnya dalam situasi melibatkan kematian akibat pemandu mabuk.
Peguam Yusfarizal Yussof berkata, ketika ini ramai pihak gusar kerana tuntutan sivil mengambil masa panjang, sedangkan keluarga mangsa memerlukan bantuan kewangan segera.
"Pindaan undang-undang boleh dipertimbangkan bagi membolehkan mahkamah terus memerintahkan pampasan dibayar sebaik sahaja kesalahan jenayah dibuktikan, tanpa perlu melalui proses tuntutan sivil yang berlarutan dan panjang.
“Kalau undang-undang dipinda, mahkamah boleh terus arahkan pesalah membayar pampasan kepada keluarga mangsa tanpa melalui perbicaraan panjang. Saya rasa ini cadangan yang baik,” kata beliau dalam program AWANI Pagi, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, usaha menangani isu pemandu mabuk tidak boleh bergantung kepada undang-undang semata-mata, sebaliknya, perlu digerakkan secara menyeluruh melibatkan tiga komponen utama iaitu perundangan, penguatkuasaan dan budaya masyarakat.
Jelasnya, aspek penguatkuasaan yang tegas mampu mewujudkan elemen ‘kegentaran’ dalam kalangan orang ramai, sekali gus menjadi faktor pencegahan kepada mereka yang berniat melakukan kesalahan.
“Apabila seseorang itu tahu kebarangkalian untuk ditahan sangat tinggi, contohnya melalui sekatan jalan raya yang lebih kerap dan penggunaan alat pengesan alkohol, ia akan menimbulkan rasa takut untuk memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.
Tambah beliau, penguatkuasaan sedia ada masih boleh dipertingkatkan, termasuk meningkatkan kekerapan operasi dan penggunaan teknologi bagi memastikan pesalah dapat dikesan dengan lebih berkesan.
Dalam masa sama,Yusfarizal menekankan kepentingan pembinaan budaya masyarakat yang menolak amalan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Menurutnya, budaya tersebut perlu dipupuk melalui kempen kesedaran berterusan seperti “don’t drink and drive” selain pendidikan awam yang menyeluruh.
“Budaya ini penting. Masyarakat perlu ada kesedaran untuk tidak memandu jika mengambil alkohol. Ia perlu dibentuk melalui kempen, pendidikan dan kesedaran yang meluas,” katanya.
Beliau berpandangan, hanya melalui gabungan ketiga-tiga elemen ini, usaha membendung tragedi pemandu mabuk yang meragut nyawa dapat ditangani secara lebih berkesan.