IPOH: Dua warganegara asing direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes seorang pelajar kolej maut terkena sabit dalam satu insiden di Teluk Intan semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Bakri Zainal Abidin memaklumkan kedua-dua suspek yang berumur 39 dan 52 tahun direman sehingga 16 Mac depan.
Menurutnya, perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Teluk Intan bagi tujuan siasatan lanjut.
Terdahulu, media melaporkan polis mengesahkan telah menerima laporan berkaitan kejadian yang mengakibatkan kematian seorang pelajar kolej berusia 18 tahun, dalam satu insiden di Teluk Intan.
Bakri berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian leher.
Menurutnya, seorang lagi mangsa yang juga pelajar kolej berumur 17 tahun dan rakan kepada si mati, turut mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan kini sedang menerima rawatan lanjut.
Hasil siasatan awal pihak polis mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila sebilah sabit berhulu panjang yang dibawa oleh seorang lelaki telah terkena pada bahagian leher mangsa ketika kedua-dua motosikal berada berhampiran antara satu sama lain di atas jalan.
Bakri berkata, kejadian tersebut menyebabkan mangsa terjatuh daripada motosikal.
Susulan kejadian itu, kata Bakri, polis telah menahan dua lelaki warga asing, masing-masing nerusia 39 dan 52 tahun bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh dan kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk permohonan reman, bagi membantu siasatan.