MEKAH: Tabung Haji (TH) memperkukuh kesiapsiagaan kesihatan jemaah haji Malaysia menjelang kemuncak ibadah di Arafah, dengan fokus utama memastikan semua jemaah berada dalam keadaan sihat bagi menunaikan rukun terpenting haji iaitu wukuf.
Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kesihatan), Dr Muhammad Zamri Harun berkata, pelan kesiapsiagaan kesihatan telah dirangka secara menyeluruh melibatkan tiga fasa utama iaitu sebelum, semasa dan selepas pergerakan jemaah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan perkhidmatan kesihatan sentiasa bersedia menghadapi pergerakan jemaah dalam skala besar selain cabaran cuaca panas melampau yang dijangka berterusan.
“Kita fokus pastikan jemaah sekurang-kurangnya dapat berwukuf. Itu keutamaan kita,” katanya ketika ditemui di sini.
Sebagai persediaan, pasukan perubatan telah digerakkan lebih awal ke kawasan Masya’ir bagi memastikan segala kemudahan dan rawatan tersedia sebelum ketibaan jemaah.
Pada masa sama, petugas kesihatan turut ditempatkan di maktab bagi memantau keadaan jemaah dan memberi rawatan segera sekiranya diperlukan.
Dr Zamri berkata, antara cabaran terbesar ketika fasa tersebut adalah aspek komunikasi dan koordinasi memandangkan pergerakan jemaah melibatkan jumlah yang besar dalam tempoh singkat.
“Pergerakan ke Arafah melibatkan jumlah jemaah yang ramai, jadi koordinasi perlu pantas supaya rawatan kesihatan dapat disampaikan dengan optimum,” katanya.
Dalam menghadapi kemungkinan kecemasan, TH turut menyediakan kemudahan ambulans dengan kebenaran khas serta klinik kesihatan di lokasi strategik termasuk di Arafah dan Mina.
Selain itu, program peneman diperkenalkan khusus untuk membantu jemaah uzur yang tidak mampu bergerak jauh, termasuk penggunaan bas khas bagi memastikan mereka turut berpeluang menunaikan ibadah dengan sempurna.
Kerjasama dengan hospital di Arab Saudi juga diperkukuh bagi membolehkan jemaah yang memerlukan rawatan lanjut dihantar dan dirawat dengan segera.
Menurut beliau, setakat ini perkhidmatan kesihatan mencukupi dan pihaknya terus memantau keadaan jemaah secara berterusan.
Sehubungan itu, jemaah diingatkan supaya memberi keutamaan kepada kesihatan dengan mengurangkan pergerakan tidak perlu serta mendapatkan rehat secukupnya menjelang hari wukuf.
“Kita mahu semua jemaah berada dalam keadaan terbaik untuk wukuf di Arafah. Itu matlamat utama kita,” katanya.