Skip to main content

Malaysia

Parlimen: Kementerian Perpaduan perlu jadi pengantara tangani isu kaum

41701680355_DatukSivarajChandr.jpg
Kata Sivaraj Chandran, Kementerian Perpaduan tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan secara langsung, kementerian berkenaan tetap perlu memainkan peranan kepimpinan dengan menyelaras tindakan antara kementerian dan agensi berkaitan bagi menangani isu sensitif antara kaum dengan lebih berkesan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan digesa mengambil peranan lebih aktif sebagai pengantara antara Kementerian Dalam Negeri dan agensi penguatkuasaan berkaitan bagi memastikan isu sensitif melibatkan kaum dan agama dapat ditangani dengan pantas serta berkesan. 

Ahli Dewan Negara, Datuk Sivaraj Chandran berkata, peranan kepimpinan kementerian itu penting dalam memastikan setiap isu yang berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk tidak dibiarkan berlarutan sehingga mencetuskan ketegangan. 

Menurutnya, walaupun Kementerian Perpaduan tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan secara langsung, kementerian berkenaan tetap perlu memainkan peranan kepimpinan dengan menyelaras tindakan antara kementerian dan agensi berkaitan bagi menangani isu sensitif antara kaum dengan lebih berkesan. 

“Kebelakangan ini kita menyaksikan beberapa kejadian yang tular di media sosial, termasuk insiden yang memuat naik video provokatif di platform TikTok. 

"Jika perkara seperti ini tidak ditangani dengan tegas, ia boleh mencetuskan ketegangan serta menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini," katanya di Dewan Negara, di sini pada Selasa. 

Sivaraj berkata, situasi itu menjadi lebih membimbangkan apabila tidak kelihatan tindakan yang jelas walaupun isu berkenaan melibatkan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan.  

Menurutnya, keadaan sedemikian boleh menimbulkan persepsi bahawa tindakan provokatif yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum boleh dilakukan tanpa sebarang tindakan tegas.

Beliau turut mengingatkan sebelum tahun 2018, kebanyakan isu kecil berkaitan rumah ibadat atau komuniti lazimnya diselesaikan secara matang di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersama pengurusan rumah ibadat masing-masing. 

Katanya, perkara berkenaan jarang dijadikan bahan sensasi di media sosial atau dieksploitasi mana-mana pihak. 

"Namun hari ini, banyak perkara kecil diperbesarkan melalui media sosial sehingga menimbulkan kemarahan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat. 

"Sikap provokatif seperti ini boleh datang daripada mana-mana pihak dan tidak seharusnya dibiarkan berterusan,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berharap perkara berkenaan dapat dibawa ke perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan satu penyelesaian menyeluruh dapat dicapai dengan segera. 

"Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi asas kepada kestabilan negara dan pembangunan. 

"Oleh itu, semua pihak perlu bertanggungjawab memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara demi kepentingan negara," katanya. 

Must Watch Video