KUALA LUMPUR: Cadangan gencatan senjata antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) dilihat lebih memihak kepada Tehran berikutan syarat-syarat ketat yang dikenakan oleh negara itu.
Profesor Adjung Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof Kamaruzaman Yusof berpandangan, antara syarat utama yang dikemukakan ialah kawalan penuh Iran terhadap Selat Hormuz, termasuk pembukaan semula laluan strategik itu di bawah koordinasi tentera Iran.
Beliau berkata, Iran turut menuntut penghapusan sepenuhnya sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas negara itu sejak kira-kira 47 tahun lalu.
"Ini menunjukkan sebelum dan selepas konflik, keadaan menjadi lebih ketat dengan Iran menggunakan Selat Hormuz sebagai 'leverage' untuk mendapatkan pampasan terhadap kerugian akibat serangan, termasuk korban hampir 2,000 nyawa dan lebih 20,000 cedera serta kemusnahan infrastruktur seperti universiti dan jambatan.
"Langkah ini merupakan kemenangan moral kepada Iran dan bakal mengukuhkan ekonominya melalui kemasukan dana serta pemulihan aset di luar negara," katanya kepada Astro AWANI, pada Khamis.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan AS berdepan kelemahan ketara apabila didakwa perlu mengundurkan pangkalan tenteranya dari rantau Teluk serta membayar pampasan kepada Iran.
Tambah Kamaruzaman, tekanan dalaman turut dihadapi oleh Presiden Donald Trump, termasuk kritikan rakyat dan desakan politik, malah terdapat usaha dalam kalangan anggota Kongres untuk menjatuhkan beliau melalui proses impeachment.
"Trump juga dikatakan melanggar undang-undang antarabangsa dengan mengambil tindakan unilateral yang bertentangan dengan Konvensyen Geneva," katanya.
Mengulas peranan Israel, beliau berkata negara itu bersetuju dengan gencatan senjata namun enggan memasukkan serangan ke atas Lubnan sebagai sebahagian daripada rundingan.
Menurutnya, pendirian tersebut berpotensi menggagalkan usaha damai yang diusahakan oleh Pakistan, terutamanya jika Israel terus berkeras mengekalkan kehadiran tenteranya sehingga ke kawasan Sungai Litani.
Beliau menjangkakan ketegangan berterusan boleh menjejaskan keberkesanan gencatan senjata tersebut.
"Secara keseluruhannya, kita masih menunggu perkembangan lanjut dan berharap keadaan kembali aman serta ekonomi global dapat pulih, walaupun ia mungkin mengambil masa yang panjang," katanya.
Pada Rabu, Iran mengisytiharkan kemenangan bersejarah ke atas AS dan Israel selepas 40 hari konflik, dengan mendakwa Washington terpaksa menerima cadangan damai yang dikemukakan Tehran.
Dalam kenyataan rasmi, Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran memaklumkan pihak lawan mengalami kekalahan besar dan kini 'tiada pilihan selain tunduk' kepada kehendak Iran.
Menurut kenyataan itu, AS bersetuju dengan cadangan 10 perkara yang merangkumi gencatan senjata kekal, penarikan keluar tentera Amerika dari rantau tersebut serta penghapusan sekatan terhadap Iran.