Skip to main content

Malaysia

Pakaian lokap dan penjara perlu ditambah baik, sediakan opsyen patuh syariah - Pakar

KOTA BHARU, 13 April (Bernama) -- Seorang guru wanita berusia 57 tahun direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung kemalangan yang mengorbankan seorang pelajar perempuan di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini semalam.
Sebelum ini, pakaian lokap yang dipakai seorang guru wanita ketika proses reman mencetuskan perdebatan kerana didakwa tidak menutup aurat dengan sempurna. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran segera melakukan penambahbaikan terhadap tatacara pemakaian individu dalam tahanan lokap atau penjara, termasuk menyediakan opsyen pakaian patuh syariah bagi wanita beragama Islam.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir berkata perkara itu perlu diberi perhatian segera kerana menutup aurat merupakan kewajipan bagi individu Muslim.

Pakar Fiqh Islam, Maqasid Syariah dan Hubungan Entik itu berkata adalah satu yang kurang elok apabila seseorang yang sudah menutup aurat dengan sempurna, namun terpaksa berpakaian sebaliknya ketika berada dalam tahanan.

“Jadi adalah lebih baik pihak berkuasa berkaitan mendapatkan pandangan pihak berautoriti agama seperti JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan bagi cadangan penambahbaikan,” katanya kepada Bernama semalam.

Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin pula berkata seseorang itu tidak hilang kehormatan hanya kerana berstatus pesalah, dan menegaskan prosedur operasi perlu dirangka dengan mengambil kira sensitiviti agama, bukan semata-mata kecekapan pentadbiran.

Justeru, katanya, kerajaan perlu memastikan sistem pengurusan lokap dan tahanan wanita dibangunkan dengan mengambil kira tuntutan agama dan nilai kemanusiaan.

“Dalam konteks ini, wajar dipertimbangkan pelantikan pegawai wanita berkelayakan dalam bidang syariah sebagai sebahagian daripada petugas lokap atau penasihat, yang akan menjadi rujukan dalam memastikan setiap prosedur mematuhi tuntutan syarak, khususnya berkaitan penjagaan aurat,” katanya.

Mohd Hapiz turut mencadangkan supaya latihan berkaitan sensitiviti agama, hak asasi dan etika pengendalian tahanan wanita diperkukuh agar anggota penguat kuasa bertindak lebih berhemah dan profesional, bukan sekadar mengikut prosedur secara mekanikal.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin turut menggesa pelaksanaan langkah interim secara serta-merta sementara semakan menyeluruh dijalankan, di samping memperkukuh latihan sensitiviti agama dan hak asasi dalam kalangan pegawai penguat kuasa.

“Kewajipan menutup aurat adalah asas dalam Islam, dan kebebasan beragama dijamin oleh Perlembagaan. Kegagalan memelihara perkara ini, walaupun dalam konteks tahanan, berisiko menghakis keyakinan awam terhadap keadilan dan keperikemanusiaan sistem kita.

“Semakan SOP (prosedur operasi standard) mesti dilaksanakan secara tuntas, dengan jangka masa jelas dan dipantau secara telus bagi memastikan penambahbaikan benar-benar berlaku di lapangan, bukan sekadar bersifat reaktif,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata penyelesaian seimbang adalah munasabah dan boleh dilaksanakan, termasuk penyediaan pakaian yang patuh syariah serta garis panduan khusus bagi tahanan wanita Muslim tanpa menjejaskan aspek keselamatan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Datuk Ahmad Azam Ab Rahman berkata pihaknya bersedia menjadi pemudah cara termasuk mengendalikan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi merumuskan tatacara terbaik berkaitan pemakaian tahanan.

“Sama ada individu itu sudah didapati bersalah, masih dalam perbicaraan, dalam tahanan atau apa sahaja keadaan, hak asasi mereka tetap perlu dipelihara. Dalam konteks ini, jika melibatkan individu wanita beragama Islam, wajar diberi kebebasan untuk berpakaian yang selari dengan tuntutan agamanya,” katanya.

Sebelum ini, pakaian lokap yang dipakai seorang guru wanita ketika proses reman mencetuskan perdebatan kerana didakwa tidak menutup aurat dengan sempurna, sekali gus mendorong cadangan agar pakaian lokap wanita ditambah baik.

Mengulas perkara sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli dilaporkan berkata isu berkenaan akan dibincangkan dengan kementerian berkaitan bagi memastikan aurat wanita Muslim terpelihara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video