Skip to main content

Malaysia

Padah tetak bekas isteri sehingga parah, bilal dihukum penjara 12 tahun

61534840656_TetakBekasIsteri.jpg
Seorang bilal dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen George Town hari ini, atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas bekas isterinya, dua minggu lalu.
 
Hakim, Norsalha Hamzah membuat keputusan itu ke atas  Muhammad Ashraf Kames Abdullah, 39, selepas tertuduh   mengaku bersalah atas  pertuduhan tersebut. 
 
Norsalha dalam penghakimannya turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara  enam bulan sekiranya  gagal membayar denda. 
 
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan  menggunakan pisau sebagai senjata untuk menyerang Nur Syamira Muhammad Thandayu Thapani, 24.

BACA: Wanita putus tangan ditetak suami
 
Dia  didakwa melakukan perbuatan itu di tingkat tiga, tempat meletak kenderaan di Flat Bayu Nyaman, Bayan Lepas, kira-kira jam 12.55 tengah malam, pada 12 Ogos lalu.
 
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
 
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee, manakala tertuduh diwakili peguam, M Puven.
 
Terdahulu, peguam tertuduh memohon supaya  mahkamah mengenakan  hukuman lebih  ringan terhadap anak guamnya selepas tertuduh membuat pengakuan salah yang sudah menjimatkan masa dan kos. 
 
Malah peguam tertuduh juga memaklumkan anak guamnya telah insaf di atas perbuatannya serta berjanji  tidak akan mengulangi kesalahan itu. 
 
Tertuduh juga dikatakan sudah sah bercerai dengan  isterinya.

Must Watch Video