PUTRAJAYA: Orang ramai diseru mengamalkan penggunaan tenaga dan air secara cekap dan berhemat, khususnya sepanjang musim perayaan Aidilfitri, yang lazimnya menyaksikan peningkatan penggunaan kedua-dua sumber itu.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata semasa musim perayaan, kadar peningkatan beban penggunaan tenaga elektrik bagi pengguna kediaman lazimnya dianggarkan kira-kira 20 hingga 40 peratus berbanding kadar penggunaan biasa.
“Langkah mudah penjimatan elektrik yang boleh diamalkan termasuk mematikan lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan, mengelakkan peralatan berada dalam mod sedia, menetapkan suhu penyaman udara kira-kira 24 hingga 26 darjah Celsius, dan menggunakan peralatan elektrik yang mempunyai penarafan kecekapan tenaga empat atau lima bintang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi kadar penggunaan air pula, dijangka terdapat peningkatan penggunaan antara 30 hingga 35 peratus di kebanyakan negeri yang menjadi tumpuan perantau pulang berhari raya, dan pihak operator bekalan air telah siap siaga bagi memastikan permintaan dapat dipenuhi sebaiknya.
“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut memastikan operator bersedia dengan pelan kontigensi sekiranya timbul sebarang insiden luar jangka sepanjang musim perayaan,” katanya.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui SPAN turut menyasarkan penggunaan air per kapita harian pada kadar maksimum 160 liter, sejajar dengan sasaran antarabangsa.
Beliau berkata langkah penjimatan air yang disarankan termasuk membaiki kebocoran paip dalaman, menggunakan sumber air alternatif seperti tadahan air hujan bagi aktiviti bukan teras seperti mencuci laman, mengamalkan disiplin penggunaan, membasuh pakaian hanya apabila muatan penuh dan memastikan pili ditutup rapat selepas digunakan.
Selain itu, penggunaan semula air tidak tercemar seperti air wuduk dan pemilihan produk berlabel cekap air dua atau tiga bintang juga mampu membantu menjimatkan sehingga purata 50 peratus bil bulanan.
Dalam aspek keselamatan elektrik, PETRA turut mengingatkan orang ramai agar memastikan pendawaian rumah selamat dan menguji Peranti Arus Baki (PAB) dengan menekan butang uji ‘T’ sekurang-kurangnya sekali sebulan.
“Jika PAB berfungsi dengan baik, ia akan terpelantik dan bekalan elektrik akan terputus serta-merta. Namun, sekiranya ia tidak berfungsi dan perlu diganti, sila dapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga,” katanya.
Langkah lain, termasuk memastikan wayar tidak rosak, tidak membebankan soket elektrik, menggunakan peralatan yang mempunyai label keselamatan, memastikan tangan kering ketika menggunakan peralatan elektrik dan mengelakkan penggunaan telefon bimbit ketika sedang dicas.
Menerusi amalan penggunaan tenaga dan air yang cekap, rakyat bukan sahaja dapat menyambut perayaan dengan lebih selamat malah turut menyokong agenda negara dalam memastikan kelangsungan sumber tenaga dan air yang mampan, berdaya tahan dan mampu memenuhi keperluan pembangunan negara pada masa hadapan.
-- BERNAMA