Skip to main content

Malaysia

Ops Hazard 3.0: PGA rampas RM187 juta, 56 warga asing ditahan

Sumber: Shahir Omar
SAC Hakemal Hawari menjawab soalan wartawan pada sidang media di Kuala Lumpur, pada Khamis. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

KUALA LUMPUR: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan sisa elektronik (e-waste) serta pelbagai peralatan lain dengan nilai rampasan dianggarkan RM187 juta, sekali gus membawa kepada penahanan 56 individu.

Komander Briged Tengah PGA, SAC Hakemal Hawari berkata, kesemua yang ditahan merupakan warga asing terdiri daripada 48 lelaki dan lapan wanita dari China, Myanmar dan Bangladesh.

Beliau berkata, serbuan tersebut dilaksanakan pada Isnin (6 April) menerusi Op Hazard 3.0 secara bersepadu bersama Pasukan Gerakan Udara PDRM, Unit AMLA Bukit Aman, Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan serta Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“Operasi Hazard 3.0 ini dilaksanakan secara serentak di 14 lokasi di bawah kawasan tanggungjawab Briged Tengah melibatkan Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

“Pecahan serbuan mengikut negeri ialah 10 di Selangor, dua di Negeri Sembilan dan dua di Johor,” katanya dalam sidang media di ibu negara, pada Khamis.

Menurut beliau, kesemua serbuan disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian 2021, Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 serta Akta Imigresen 1959/63.
 

Must Watch Video