Skip to main content

Malaysia

Operasi SAR Jaslinda: Fokus maklumat, petunjuk baharu

TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih kini memberi tumpuan kepada pencarian berasaskan maklumat dan petunjuk baharu.
Sabarodzi berkata, susulan pengecilan operasi, semua pergerakan masuk ke kawasan hutan simpan kekal terbabit perlu mendapat kebenaran dan diselaraskan bersama Jabatan Perhutanan. - Gambar Sinar Harian

TAPAH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih kini memberi tumpuan kepada pencarian berasaskan maklumat dan petunjuk baharu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pasukan bomba yang kini mengetuai operasi akan mengumpul serta menilai setiap input terkini bagi memastikan gerakan lebih tersusun dan berfokus.

“Dalam skala operasi yang lebih kecil ini, kita akan bertindak berdasarkan maklumat baharu termasuk sebarang penemuan atau input daripada komuniti setempat, Orang Asli dan malim gunung yang masih aktif membantu pencarian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Penyelarasan SAR yang dipengerusikan Pegawai Daerah Batang Padang, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pada Rabu.

Mesyuarat berkenaan memutuskan operasi SAR diteruskan dalam skala kecil dengan penglibatan agensi serta anggota yang terhad.

Mengulas lanjut, Sabarodzi berkata, susulan pengecilan operasi, semua pergerakan masuk ke kawasan hutan simpan kekal terbabit perlu mendapat kebenaran dan diselaraskan bersama Jabatan Perhutanan.

Katanya, sukarelawan atau mana-mana individu yang ingin membantu perlu melaporkan diri di Pusat Kawalan Bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Tapah sebelum memasuki kawasan pencarian.

“Sebelum ini, operasi dijalankan secara bersama melibatkan semua agensi, namun apabila skala dikecilkan, penyelarasan dengan Jabatan Perhutanan perlu dilakukan bagi menentukan kaedah kemasukan pasukan kecil ke lokasi pencarian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, ketika ini seramai 10 anggota terdiri daripada lapan anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan dua malim gunung masih berada di kawasan pencarian bagi meneruskan operasi di sektor yang dikenal pasti berhampiran puncak Gunung Batu Putih.

Katanya, penggunaan aset udara pula tidak lagi dilaksanakan secara tetap, sebaliknya bergantung kepada keperluan semasa.

“Penggunaan pesawat adalah berdasarkan permintaan. Sekiranya terdapat penemuan baharu yang memerlukan sokongan udara, kita akan menggerakkan aset tersebut,” katanya. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement