TAPAH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu, diteruskan dalam skala kecil bermula Khamis.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Penyelarasan SAR yang dipengerusikan Pegawai Daerah Batang Padang, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, operasi pencarian akan disusun semula dengan penglibatan anggota dan agensi yang lebih terhad, diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
βOperasi ini tidak diberhentikan. Kita teruskan dalam skala kecil yang akan diketuai oleh pihak bomba mengikut prosedur operasi standard (SOP) SAR mereka.
"Bagaimanapun, polis akan menjalankan pemantauan dan siasatan lanjut berhubung kehilangan mangsa,β katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.
Hadir sama Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad; Pegawai Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Azhar Hashim serta wakil Jabatan Perhutanan dan malim gunung.
Abdul Malik berkata, setakat ini seramai 116 anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan, PGA, malim gunung serta penduduk tempatan telah digerakkan sepanjang 11 hari operasi.
Katanya, bantuan daripada komuniti luar termasuk dari Cameron Highlands dan Kuala Lipis, Pahang telah digerakkan sejak awal operasi bagi memperluas usaha pencarian.
Tambah beliau, kira-kira 95 peratus kawasan pendakian Gunung Batu Putih telah diperiksa menggunakan pelbagai kaedah pencarian, namun mangsa masih belum ditemui.
βBerdasarkan penilaian semasa termasuk faktor keselamatan anggota dan liputan kawasan yang telah diperiksa, operasi kini difokuskan dalam skala lebih kecil oleh pihak bomba dengan bantuan komuniti setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Sepanjang operasi berlangsung, beberapa anggota penyelamat turut mengalami kecederaan. Ini antara aspek yang kita ambil kira dalam merancang operasi seterusnya supaya tidak membahayakan anggota dan mengelakkan pembaziran sumber," katanya.
Dengan perkembangan terbaharu itu, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II, Woh di sini akan ditutup pada Rabu.
Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula jam 2 pagi pada 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi, Ahad lalu.