KUALA LUMPUR: Peralihan kepada biobahan api perlu bermula sekarang ketika harga bahan api fosil melonjak.
Ketua Perunding Bersama Projek Wacana Awam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), Institut Antarabangsa Polisi Awam & Pengurusan (INPUMA) Universiti Malaya (UM), Datuk Prof. Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata kerajaan sudah mula mengenal pasti agensi-agensi terbabit untuk memulakan transisi berkenaan.
“Saya kira dalam konteks ini, perlu pembingkaian naratif dan komunikasi rakyat mengenai kebergantungan terhadap subsidi sebagai suatu yang tidak sihat untuk jangka masa panjang.
“Pada masa yang sama, kita perlu nyatakan bahawa ia perlu dilakukan dengan memperkenalkan alternatif lain supaya tidak bergantung sumber sedia ada. Contohnya di Sarawak ada sumber tenaga solar dan empangan hidro.
“Kita juga difahamkan bahawa Jemaah Menteri memberi tumpuan kepada biobahan api, mengenal pasti agensi-agensi terlibat seperti Felda dan lain-lain, berapa jumlah yang mereka gunakan untuk pastikan ada alternatif yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob pula berpandangan, peralihan kepada biobahan api ini bukan sahaja boleh menangani cabaran gangguan bekalan, bahkan pada masa yang sama boleh memberi lebihan keuntungan menerusi penawaran bahan api alternatif dengan harga input lebih rendah.
“Masa ini sangat sesuai kerana input bahan api adalah daripada bahan api fosil. Sekarang tenaga minyak terlalu tinggi... Oleh itu, kita boleh gunakan biobahan api sebagai pengganti, dan ia akan meningkatkan keuntungan,” ujarnya.
Pada Sabtu, beberapa organisasi antarabangsa, termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Bank Dunia, memberi amaran tentang risiko kekurangan bekalan bahan api pada musim panas ini jika lalu lintas maritim melalui Selat Hormuz tidak kembali normal dengan segera.
Dalam kenyataan bersama, ketua ketiga-tiga institusi berkenaan menyatakan bahawa inventori minyak global sedang menyusut pada kadar rekod berikutan kehilangan besar bekalan yang melalui Selat Hormuz.
Dalam perkembangan berasingan, pada 26 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bekalan petrol dan diesel negara masih mencukupi ketika ini meskipun konflik di Asia Barat dan keadaan ekonomi global memberi tekanan terhadap rantaian bekalan tenaga dunia.
Selain itu, kata beliau, kerajaan turut komited untuk mengekalkan harga minyak RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter.
Agenda AWANI: Impak Krisis Bekalan Global - Teliti Semula RMK13?