Skip to main content

Malaysia

Operasi feri Langkawi dikurangkan tiga trip sehari, susulan kenaikan harga diesel

Sumber: BERNAMA
Syarikat pengendali feri ke Langkawi dilaporkan mengambil langkah mengurangkan kekerapan perjalanan harian daripada lima kepada tiga trip sehari bermula semalam.

LANGKAWI: Syarikat pengendali feri ke Langkawi dilaporkan mengambil langkah mengurangkan kekerapan perjalanan harian daripada lima kepada tiga trip sehari bermula semalam, dalam usaha memastikan kelangsungan operasi serta mengelakkan pemberhentian pekerja.

Menurut Pengurus Besar Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Dr Baharin Baharom, keputusan tersebut dibuat susulan peningkatan harga diesel industri yang melebihi 100 peratus, sekali gus menyebabkan kos operasi meningkat dan memberi tekanan kepada pengusaha feri di pulau peranginan itu.

“Kami tidak mempunyai pilihan lain selain mengurangkan kekerapan perjalanan bagi memastikan operasi harian syarikat dapat diteruskan dalam keadaan kos yang semakin meningkat.” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Sehubungan itu, jelas beliau, pengurangan perjalanan daripada lima kepada tiga trip sehari merupakan langkah perlu bagi memastikan syarikat terus beroperasi secara mampan.

Dalam pada itu, pihak syarikat mengakui terdapat pandangan dalam kalangan orang ramai yang kurang senang dengan keputusan tersebut dan menganggap langkah berkenaan dibuat semata-mata demi keuntungan.

Namun, beliau menegaskan, persepsi itu tidak menggambarkan situasi sebenar industri.

“Kadar tambang feri ke Langkawi adalah antara yang paling rendah di Malaysia, iaitu sekitar 88 sen bagi setiap batu nautika, kadar ini jauh lebih rendah berbanding tambang ke destinasi lain seperti Pulau Tioman dan Pulau Pangkor yang mencecah sekitar RM2 bagi setiap batu nautika,” tegasnya lagi

Untuk rekod, Ferry Line Ventures Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 2005 hasil penggabungan tujuh syarikat feri, sekali gus menjadikannya pengendali feri penumpang terbesar di Langkawi dan Malaysia.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kewangan Malaysia mengumumkan peningkatan bantuan tunai secara interim bagi penerima BUDI Diesel Individu dan BUDI Diesel Agri-Komoditi daripada RM200 kepada RM300.

Menurut kementerian itu, pengumuman tersebut adalah sebagai langkah segera bagi membantu meringankan beban kewangan pengguna diesel susulan kenaikan harga minyak global.

Must Watch Video