Skip to main content

Malaysia

OPA dilaksana bermula hari ini hingga 9 April, tingkat paras air empangan - Arthur

SUBANG, 12 Jun -- Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) giat bertugas ketika Operasi Pembenihan Awan hari ini.  Operasi tersebut dilakukan di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang dengan menggunakan pesawat C-130 Hercules.  --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pelaksanaan OPA akan memberikan tumpuan khusus kepada empangan utama yang terletak di negeri Perak, Kedah, Perlis dan Johor bagi memastikan kelangsungan bekalan air domestik dan pertanian. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bermula hari ini hingga 9 April bagi meningkatkan paras air empangan utama serta mengurangkan kesan cuaca panas yang sedang melanda beberapa negeri.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata langkah itu diambil susulan laporan status cuaca setakat semalam, yang menunjukkan Kota Setar, Kedah, kini berada pada Tahap 2 atau Gelombang Haba, dengan suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Beliau berkata beberapa kawasan di Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Pahang dan Johor turut diletakkan di bawah status Tahap 1 (berjaga-jaga) berikutan suhu maksimum harian antara 35 darjah Celsius hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Berikutan itu, beliau berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan OPA bagi mendepani cabaran cuaca panas yang sedang melanda negara.

"Pelaksanaan OPA yang dijadualkan bermula hari ini hingga 9 April ini akan memberikan tumpuan khusus kepada empangan utama yang terletak di negeri Perak, Kedah, Perlis dan Johor bagi memastikan kelangsungan bekalan air domestik dan pertanian," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Arthur berkata objektif utama siri operasi itu adalah untuk meningkatkan paras air di empangan-empangan strategik tersebut serta membantu memberikan kelembapan kepada ekosistem bagi mengurangkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut.

"Bagaimanapun, kementerian ingin menegaskan bahawa kejayaan operasi ini amat bergantung kepada keadaan atmosfera yang kondusif, terutamanya kehadiran awan kumulus yang sesuai dan kelajuan angin yang rendah," katanya.

Arthur berkata pasukan teknikal MET Malaysia akan sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa bagi menentukan lokasi sasaran tepat, yang dapat menghasilkan impak maksimum kepada kawasan terkesan.

Justeru, Arthur berkata orang awam dinasihatkan agar terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan aktiviti luar pada waktu tengah hari, memastikan pengambilan air yang mencukupi, serta menggunakan perlindungan diri seperti topi atau payung ketika berada di bawah panas terik.

Selain itu, seluruh rakyat juga diseru untuk menggunakan air secara berhemat dan mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka bagi menjaga kualiti udara serta kelestarian alam sekitar.  

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video