KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan satu kumpulan jenayah terancang yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah di Pulau Pinang menerusi operasi khas Op Shadow.
Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Pulau Pinang itu berjaya menahan lima suspek lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 26 tahun pada 15 Februari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Datuk M. Kumar, berkata kumpulan itu diketuai seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun serta mempunyai lapan ahli berumur antara 22 hingga 35 tahun.
Menurutnya, kumpulan terbabit aktif melakukan jenayah pecah rumah sejak 2024 hingga Oktober 2025 dan dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 42 kes, dengan jumlah kerugian dianggarkan hampir RM1 juta.
“Daripada jumlah itu, lima suspek yang ditahan kini direman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Tiga lagi ahli kumpulan yang dikenal pasti pula sedang menjalani hukuman di Penjara Jawi, Pulau Pinang dan Penjara Alor Setar, Kedah atas kesalahan lain,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Siasatan turut mendapati semua suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan rompakan berkumpulan, pecah rumah, curi dalam bangunan, curi kenderaan, mendatangkan kecederaan, khianat serta kesalahan berkaitan dadah.
Kumpulan itu dipercayai menyasarkan rumah di kawasan perumahan mewah berpagar dan berkawal selain kawasan perumahan biasa sebelum melarikan barangan berharga seperti barang kemas, peralatan elektronik dan wang tunai yang mudah dilupuskan.
Kumar berkata, kejayaan menahan kesemua suspek membolehkan polis menyelesaikan 42 kes pecah rumah sekali gus melumpuhkan sepenuhnya sindiket berkenaan yang aktif di sekitar Pulau Pinang.
Beliau berkata, kertas siasatan kes sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 6 Mac lalu dan pihak pendakwaan bersetuju menuduh kesemua lapan ahli kumpulan itu di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Kes dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang esok dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun.
Kumar menegaskan PDRM akan terus mempergiat operasi risikan dan penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan jenayah terancang demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.